APMM kembali tahan bot nelayan asing ceroboh perairan Negara

Penahanan bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara dilaksanakan kembali mulai semalam setelah hanya tindakan pengusiran dilakukan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

  Menurutnya, sebanyak 88 bot asing terutamanya dari Vietnam telah diusir dari perairan Malaysia ketika PKP berkuat kuasa sejak 18 Mac, dan tindakan pengusiran itu dilakukan bagi mengelak risiko penularan pandemik COVID-19 melibatkan kes import.

“Apabila PKP memasuki fasa pemulihan (mulai 10 Jun), APMM berpandangan bahawa tindakan dan penguatkuasaan ke atas bot nelayan asing perlu kembali kepada pendekatan asal iaitu penahanan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Bagi mengekang risiko penularan pandemik itu, Mohd Zubil berkata semua bot nelayan asing yang ditahan akan dibawa ke pulau-pulau berhampiran Pulau Bidong bagi menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19.

“Jika didapati negatif, mereka ini akan dibawa ke jeti untuk dikenakan tindakan undang-undang manakala bagi mereka yang positif akan dirawat sehingga sembuh sebelum didakwa,” katanya.

Pada masa yang sama, APMM telah mencadangkan kepada Jabatan Perikanan untuk perkenalkan peruntukan hukuman sebat terhadap nelayan asing agar mereka benar-benar takut dan serik untuk menceroboh perairan Malaysia.

“Hukuman yang terpakai pada masa ini adalah denda, penjara, dan melucutkan hak bot (menenggelamkan) dilihat tidak menakutkan mereka untuk terus menceroboh,” katanya.

Menurutnya, walaupun denda telah dinaikkan sehingga RM6 juta bagi tekong dan RM500,000 bagi awak-awak yang didapati bersalah menceroboh perairan negara, namun sehingga kini tiada denda dikenakan kerana mereka memilih hukuman untuk dipenjarakan antara enam bulan dan setahun.

Dalam mempertingkat usaha kawalan perairan negara, Mohd Zubil berkata APMM bakal memiliki tiga kapal besar sepanjang 83 meter, dengan kapal pertama dijangka dapat diserahkan kepada APMM pada hujung tahun ini.

“Kapal besar ini akan digunakan sebagai kapal induk untuk membekalkan bahan logistik untuk bot-bot pemintas APMM,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Zubil berkata APMM juga mencadangkan kepada kerajaan agar agensi itu dilengkapkan dengan tiga kapal ‘Multi Purpose Machinery Ship’ (MPMS), dengan kos dianggarkan RM1.05 bilion, yang berkeupayaan untuk berada di lautan selama sebulan.

“Sekiranya kita memiliki MPMS, tugas pengawalan perairan negara juga dapat ditingkatkan dengan menggunakan dron yang boleh membuat tinjauan sebelum kita menghantar bot-bot pemintas untuk menahan nelayan yang menceroboh perairan kita,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here