Status kemajuan projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) membabitkan tujuh jajaran di Selangor mencapai tahap 58.83 peratus, kata ketua bahagian jalan Jabatan Kerja Raya Selangor.
Ir Zainuddin Hussain berkata projek itu mengalami sedikit kelewatan iaitu 4.44 peratus daripada jangkaan sepatutnya disiapkan bulan ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertengahan Mac lalu.
“Perancangan asal untuk menyiapkannya adalah sehingga 63.27 peratus tetapi kerja-kerja di lebuh raya berkenaan terpaksa ditangguhkan sementara bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara,” katanya.
Beliau berkata pihaknya yakin projek dimulakan sejak enam tahun lalu itu mampu siap sepenuhnya menjelang akhir tahun hadapan melalui pemantauan rapi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
WCE sepanjang 233 km mula dibina pada 25 Ogos 2014 dengan kos keseluruhan sebanyak RM5.044 bilion. Daripada jumlah itu, RM3.122 bilion adalah kos bagi pakej pembinaan di Selangor manakala RM1.922 bilion lagi membabitkan pakej pembinaan di Perak.
Tujuh pakej di negeri ini meliputi laluan Banting ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) sepanjang 11 kilometer (km), SKVE ke Lebuhraya Shah Alam (SAE) (7.2km) dan SAE ke Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE)/Lebuhraya Persekutuan 2 (FHR2) sejauh 10.1 km.
Pakej seterusnya membabitkan laluan NKVE/FHR2 ke Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB) sepanjang 4.5km, NNKSB ke Kapar (9.7km), Kapar ke Assam Jawa (21.8km) dan Assam Jawa ke Tanjong Karang (29.5km).
Difahamkan, penyuraian trafik dan kesesakan dapat dikurangkan apabila projek tersebut siap sepenuhnya terutama ketika musim perayaan bagi perjalanan dari Lembah Klang menuju ke utara Semenanjung.