Bangunkan Selangor cara Klopp, cipta fikiran menang

Kejayaan Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam menjadi inspirasi kepada Dato’ Menteri Besar untuk membawa Selangor ke arah lebih baik.

Menulis di Twitter, Dato’ Seri Amirudin Shari kagum dengan kepimpinan jurulatih Jurgen Klopp yang meletakkan juara 19 kali itu ke puncak sekali gus mengakhiri penantian tiga dekad.

“Saya harap dapat menerapkan pembelajaran penting bagaimana FSG (Fenway Sports Group) dan Klopp mencipta pasukan dan mentaliti menang serta menggunakannya untuk membantu saya menjadikan Selangor lebih baik kepada semua.

“Kita adalah satu pasukan. Bersatu kita tak terkalahkan. Marilah kita bersama membangun bangsa berbudaya serta negeri yang makmur sentosa,” tulisnya dengan tanda pagar YNWA dan Selangor Maju Bersama malam tadi.

Amirudin turut memuji kesungguhan The Reds mencipta pelbagai kejayaan meskipun berdepan situasi ‘menyakitkan’ dalam era EPL.

“Penantian itu amat menyakitkan tetapi bermakna bagi kita semua. Tahniah Liverpool FC. Terima kasih Klopp dan pasukan, terima kasih pemain, terima kasih semua orang di kelab, terima kasih FSG, terima kasih bandar Liverpool dan terima kasih kepada semua yang selalu percaya,” tulisnya lagi.

Liverpool dinobatkan sebagai juara tanpa menendang bola selepas Chelsea menewaskan Manchester City 2-1 awal pagi semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here