Dr Mahathir Mohamad mendakwa Anwar Ibrahim tidak boleh dicalonkan sebagai perdana menteri kerana presiden PKR itu mempunyai ramai musuh yang akan menyukarkan Pakatan Harapan Plus meraih sokongan mencukupi untuk kembali ke Putrajaya.
“Kita tidak boleh bagi dekat dia, dia ada banyak musuh, tapi kita punya sokongan (ahli Parlimen) tidak cukup. Bila tidak cukup, kita kena tambah bilangan.
“Kalau bubuh nama dia (sebagai calon PM), saya fikir tidak ramai yang akan menyertai, bahkan ada orang tertentu yang sedang ada dengan kita akan tinggalkan kita. Dengan itu, kita akan menjadi tidak cukup bilangan, tidak boleh dapat balik kerajaan.
“Sebab itu kita tidak boleh bersetuju dengan pendapat dia. Kalau kita ikut dia, sampai bila kita tidak boleh luluskan siapa yang akan jadi perdana menteri,” kata bekas perdana menteri itu dalam satu klip video yang tersebar di media sosial hari ini.
Difahamkan, klip video itu ialah pertemuan Mahathir dengan pemimpin akar umbi PPBM Terengganu di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam.
“Setahu saya, program tersebut semalam. Memang program Tun bersama akar umbi PPBM Terengganu,” kata sumber kepada FMT hari ini.
Mahathir turut mendakwa Anwar tidak bersetuju untuk beliau menjadi perdana menteri buat kali ke-3.
“Saya nak beritahu bukan saya nak jadi perdana menteri. Saya sudah 24 tahun jadi (PM), 22 tahun sebelum ini dan masa PM ke-7 selama 2 tahun.
“Tetapi, ramai berpendapat orang Melayu tidak akan sokong kalau tidak ada penyertaan saya. Kalau betul macan itu, saya rela jadi PM. Saya (sudah) umur 94 tahun, nak rehat juga.”
Beliau mendakwa Anwar tetap tidak bersetuju beliau menjadi perdana menteri semula, walaupun dipujuk rakan PH Plus.
“Semalam (Khamis) kita ada mesyuarat dengan parti PH, yang tak ada hanya PKR, iaitu diketuai Anwar. Kita telah bekerjasama dengan Anwar, tapi dia tolak kita sama sekali.
“Kita minta supaya saya jadi perdana menteri selama 6 bulan, lepas itu dia ambil, tapi dia tak nak saya jadi perdana menteri, satu hari pun dia tidak mahu, dia tolak saya sama sekali.
“Tiap kali mesyuarat, perkara sama berlaku. Dia kata bagi masa, nanti saya fikir seminggu lagi saya bagi keputusan. Lepas seminggu perkara sama juga, dia tidak setuju (saya jadi PM sementara). Seolah-olah dia saja boleh jadi perdana menteri.”
Mahathir mendedahkan beliau dan kumpulannya bersetuju memilih Presiden Warisan, Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri seterusnya bagi menggantikannya.
Katanya, cadangan itu turut dimaklumkan kepada pemimpin Amanah dan DAP dalam mesyuarat bersama pemimpin Warisan.
“Kumpulan terdiri daripada Warisan, Amanah, PPBM dan DAP, kita 4 parti setuju. Saya harap sokongan kepada saya dibuat melalui sokongan kepada Shafie.
“Saya harap akar umbi akan terima pencalonan (Shafie). Saya fikir kalau saya tidak ada, orang lain ada, kita nak orang meneruskan perjuangan kita.
“Sebab itu kita minta sokong Shafie kerana ia sependapat dengan saya dalam perjuangan lawan Najib Razak dan lawan Muhyiddin Yassin.”
FMT sedang mendapat pengesahan pemimpin Amanah dan DAP sama ada mereka bersetuju Shafie menjadi calon PM seperti didakwa Mahathir.