Majikan dikesan lindungi PATI

Tiga majikan diberi notis selepas dikesan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu di sekitar daerah ini dan Kuala Nerus, semalam.

Pengarah Imigresen Terengganu, Ungku Joha Ungku Mohamad berkata, ketiga-tiga majikan itu disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji dan melindungi 11 pekerja warga asing secara tidak sah.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan saman saksi terhadap ketiga-tiga majikan terbabit untuk hadir ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Terengganu untuk siasatan lanjut.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI yang digaji,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, dalam operasi itu, seramai 11 pekerja asing ditahan dalam serbuan dijalankan di empat lokasi pembinaan di dua daerah terbabit.

Sebahagian daripada 106 pekerja termasuk warga asing yang diperiksa di empat lokasi pembinaan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Daripada jumlah tersebut katanya, lapan daripada warga asing terbabit didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, dua lagi dikesan melanggar syarat pas manakala seorang lagi tinggal lebih masa.

“Kesemua mereka disiasat mengikut Peraturan 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1)(c) akta yang sama,” katanya.

Beliau berkata, seramai 106 pekerja termasuk warga asing diperiksa dalam Operasi Bersepadu itu melibatkan 19 pekerja tempatan, Myanmar (63), Bangladesh (11); Indonesia (12) dan seorang warga Kemboja.

“Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Klinik Kesihatan Seberang Takir untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil setelah disahkan negatif,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan dengan kekuatan anggota seramai 51 orang termasuk daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Polis Diraja Malaysia.

Dalam pada itu, katanya operasi tersebut turut dipantau Jabatan Kesihatan bagi memastikan ia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.

“Operasi dijalankan turut dipantau untuk menambah baik SOP penguatkuasaan seterusnya mencegah jangkitan Covid-19 dalam kalangan pegawai dan tahanan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here