Masalah bekalan ayam di Selangor akan pulih

Masalah bekalan ayam di Selangor dijangka pulih dalam tempoh tidak lama lagi, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah.

Menurutnya, setakat ini jumlah kemasukan ayam di peringkat ladang telah mula ditingkatkan dan dijangka dapat menstabilkan semula harga ayam di pasaran.

“Pihak KPDNHEP yakin bahawa isu kenaikan harga ayam ini dapat diatasi dalam masa terdekat dan berharap pihak pengguna serta masyarakat dapat berbelanja dengan berhemah.

“KPDNHEP sentiasa komited dan mengutamakan kepentingan pengguna lebih-lebih lagi dalam usaha untuk menstabilkan semula harga ayam di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pemeriksaan mengejut di dua buah kilang memproses ayam di daerah ini dan Sungai Buloh semalam.

KPDNHEP melakukan pemeriksaan di dua buah kilang pemprosesan ayam di Klang dan Sungai Buloh, Selangor susulan aduan kenaikan harga.

Muhamad Zikril Azan berkata, operasi bermula jam 10 pagi itu bertujuan bagi mendapatkan maklumat berkaitan isu kenaikan harga ayam.

Beliau berkata, pemeriksaan itu juga bagi membantu pihak KPDNHEP membuat kajian dan analisis seterusnya mencari mekanisme terbaik untuk menyelesaikan isu kenaikan harga ayam.

“Di antara maklum balas daripada pihak pengilang itu, punca berlakunya kenaikan harga ayam ketika ini adalah kerana pengurangan bilangan pengeluaran ayam ketika tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu akibat permintaan berkurangan ketika itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here