PENDUDUK MALAYSIA DIANGGARKAN 32.7 JUTA PADA 2020

PUTRAJAYA –

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan penerbitan Anggaran Penduduk Semasa, Malaysia, 2020 pada hari ini. Laporan ini memaparkan anggaran penduduk di Malaysia bagi tahun 2019 dan 2020. Anggaran ini berasaskan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 dan dikemas kini berdasarkan rekod kelahiran dan kematian dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN); migrasi dalaman dari Penyiasatan Migrasi oleh DOSM serta migrasi antarabangsa dari Jabatan Imigresen Malaysia, JPN, Kementerian Pengajian Tinggi dan UNHCR. Data penduduk asas ini akan dikemas kini berdasarkan Banci 2020.

Mengulas berkaitan penerbitan tersebut, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, “Jumlah penduduk Malaysia pada 2020 dianggarkan 32.7 juta berbanding 32.5 juta pada 2019 dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan 0.4 peratus. Penurunan kadar pertumbuhan penduduk ini disebabkan oleh pengurangan bilangan penduduk Bukan warganegara iaitu daripada 3.1 juta (2019) kepada 3.0 juta (2020).

Ini adalah selaras dengan penutupan pintu sempadan negara dan pergerakan pulang warga asing ke negara masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan semasa penularan wabak COVID-19 di seluruh Dunia. Kadar pertumbuhan penduduk Warganegara kekal stabil pada 1.1 peratus dengan pertambahan penduduk daripada 29.4 juta pada 2019 kepada 29.7 juta pada 2020”.

Pada 2020, penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan iaitu masing-masing 16.8 juta dan 15.9 juta. Nisbah jantina adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Laporan ini juga menunjukkan peratusan penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) pada 2020 menurun kepada 23.3 peratus berbanding 23.5 peratus pada 2019. Sementara itu, peratusan penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) juga menurun daripada 69.8 peratus pada 2019 kepada 69.7 peratus pada 2020.

Ini disebabkan oleh penurunan penduduk Bukan warganegara yang kebanyakan terdiri daripada pekerja asing. Peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 6.7 peratus kepada 7.0 peratus bagi tempoh yang sama. Umur penengah turut meningkat iaitu daripada 28.9 tahun pada 2019 kepada 29.2 tahun pada 2020.

Berdasarkan Dasar Warga Emas Negara, penuaan penduduk berlaku apabila peratusan penduduk warga emas berumur 60 tahun dan lebih mencecah 15 peratus daripada jumlah penduduk. Pada 2020, penduduk berumur 60 tahun dan lebih meningkat kepada 3.5 juta (10.7%) berbanding 3.4 juta (10.3%) pada 2019. Berdasarkan unjuran penduduk, Malaysia dijangka mengalami penuaan penduduk pada tahun 2030 dengan peratusan penduduk berumur 60 tahun dan lebih mencapai 15.3 peratus.

Daripada 29.7 juta penduduk Warganegara, komposisi Bumiputera meningkat 0.3 mata peratus menjadi 69.6 peratus pada 2020 berbanding 69.3 peratus pada 2019. Walau bagaimanapun, komposisi Cina dan India masing-masing menurun kepada 22.6 peratus (2019: 22.8%) dan 6.9 peratus atau (2019: 6.8%) manakala Lain-lain kekal pada 1.0 peratus.

Selain itu, beliau juga menyatakan, “Tiga negeri yang mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada 2020 ialah Selangor (20.0%) diikuti oleh Sabah (12.0%) dan Johor (11.6%). Sebaliknya, W.P. Labuan dan W.P. Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk terendah (0.3%). Walau bagaimanapun, kadar pertumbuhan penduduk tahunan tertinggi bagi tempoh 2019-2020 dicatatkan oleh W.P. Putrajaya iaitu 6.0 peratus”.

YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin selaku Pesuruhjaya Banci 2020 turut menyatakan tentang Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia (Banci) 2020 yang dilaksanakan dalam 2 fasa dengan tema ‘Data Anda Masa Depan Kita’. Fasa pertama bermula pada 7 Julai hingga 30 September 2020 melalui kaedah banci dalam talian (e-Census) manakala fasa kedua bermula pada 7 hingga 24 Oktober 2020 dengan menggunakan kaedah temuramah bersemuka. Dianggarkan sebanyak 9 juta tempat kediaman akan diliputi semasa Banci 2020 yang melibatkan lebih kurang 32.7 juta penduduk.

Data yang dikumpul melalui banci ini bakal memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat kerana ia digunakan oleh pihak Kerajaan untuk membuat perancangan dan dasar yang berpaksikan rakyat. Semua penduduk Malaysia dijemput mengisi e-census dan maklumat lanjut berkaitan Banci 2020 boleh diperoleh melalui portal banci iaitu www.mycensus.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here