36 kerbau mati secara misteri

Ketika umat Islam di Brunei sibuk buat persiapan rai Hari Raya Aidiladha pada 1 Ogos depan, negara itu gempar dengan berita kematian puluhan ekor kerbau.

Media tempatan, Borneo Bulletin hari ini melaporkan, sejumlah 36 bangkai haiwan itu ditemui di sebuah ladang ternakan di Katimahar, Daerah Tutong, kira-kira 13 kilometer dari ibu negaranya.

Ia susulan tular dalam kalangan pengguna media sosial tempatan yang kecoh mengenai satu rakaman video amatur berdurasi 30 saat dan memaparkan kerbau terbabit mati bergelimpangan.

Menurut laporan akhbar itu, pemangku Ketua Kampong Katimahar, Haji Bujang bin Abdul Ghani berkata, satu siasatan lebih terperinci akan dilakukan bagi rungkai misteri kes kematian tersebut.

Beliau menambah, kesemua tiga dozen kerbau itu dikenal pasti milik lima penternak setempat dan sudah ditempah bagi penyembelihan haiwan korban bersempena Aidiladha minggu depan.

Setakat ini, belum lagi dapat dipastikan motif kejadian aneh tersebut sama ada akibat perbuatan khianat pihak tertentu atau disebabkan penyakit berjangkit sesama kumpulan kerbau berkenaan.

Pelbagai agensi awam antaranya Kementerian Sumber Utama dan Pelancongan Brunei serta Polis Diraja Brunei telah berada di lokasi insiden itu namun tiada sebarang ulasan dikeluarkan.

Meskipun bangkai kerbau tersebut sudah ditanam di lokasi berhampiran, ramai netizen di negara itu percaya haiwan berkenaan mungkin mati diracun oleh individu yang mahu bunuh babi hutan.

Malangnya, kesan penggunaan bahan bertoksik itu turut cemar kawasan kolam berlumpur yang jadi tempat kerbau terbabit sering berkubang setelah habis ragut rumput di padang berdekatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here