Sugu Pavithra Bakal Buat Kemunculan Semula

Peminat YouTuber sensasi ‘Sugu Pavithra’ boleh melihat semula kemunculan pasangan itu di saluran mereka selewat-lewatnya pada petang ini.

M.Sugu, 29, berkata beliau menjangkakan video baharu akan dimuat naik di YouTube ‘Sugu Pavithra’ pada petang ini jika segala perbincangan dengan beberapa pihak selesai.

Sugu, suami kepada S. Pavithra, 28, yang juga YouTuber masakan mengakui telah memadam semua 98 video di saluran berkenaan yang dimuat naik sejak Januari lepas atas beberapa faktor peribadi.

“Saya sendiri yang padam semua video itu selepas apa yang terjadi (didakwa di mahkamah),” katanya ketika dihubungi di Bernama di sini, hari ini.

Pada 24 Julai, Sugu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan memiliki senjata berbahaya dan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya menggunakan telefon bimbit serta hulu sabit, Selasa lepas, namun Pavithra mengakui telah memaafkan perbuatan suaminya itu.

Selain itu, Pavithra ketika ditemui di mahkamah juga berkata mereka enggan menerima sebarang pengiktirafan atau penganugerahan ikon, sebaliknya mahu menumpu kepada penghasilan video masakan menerusi saluran Youtube seperti biasa.

Bercerita lanjut, Sugu yang juga bekas pekerja sebuah syarikat perladangan swasta di Sungai Siput turut mengakui hilang pendapatan daripada YouTube yang dianggap lumayan susulan tindakan memadam semua video.

“Tapi tidak mengapa, kerana saya ada tangan, kaki cukup boleh cari kerja. Sebelum (menjadi YouTuber) ini pun punca pendapatan dengan bekerja,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada pengikut setia yang kini berjumlah 787,000 orang.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan Sugu yang dalam keadaan mabuk membawa sabit mencari adik iparnya kerana masalah keluarga di luar wad bersalin Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, pada Selasa petang.

Kejadian itu berpunca akibat salah faham antara suspek dengan isterinya berkaitan satu majlis yang berlangsung sehari sebelum itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here