Kertas siasatan kes kematian Beng Hock dibuka semula

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka semula kertas siasatan berhubung kes Teoh Beng Hock yang ditemui mati pada 16 Julai 2009, di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan (Kurungan Salah).

Kementerian Dalam Negeri menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen memaklumkan, kertas siasatan sebelum ini telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada 24 Februari lepas dan PDRM diminta untuk meneruskan siasatan.

“PDRM diminta mengemukakan kembali kertas siasatan ke pejabat Peguam Negara setelah siasatan lengkap dijalankan.

“Polis telah menjalankan rakaman percakapan ke atas 13 orang saksi dan siasatan masih berjalan,” demikian menurut kementerian itu bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai status terkini kes kematian Teoh, selain meminta jumlah saksi yang telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes itu.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Mendiang adalah Setiausaha politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.

Pada 18 November tahun lepas, PDRM menubuhkan pasukan siasatan khas melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dan Bukit Aman bagi menyiasat kes kematian Beng Hock susulan arahan Peguam Negara pada 16 Julai 2019 supaya kes yang sebelum ini diklasifikasi sebagai mati mengejut itu disiasat semula di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan (Kurungan Salah).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here