Eksport S’pura jatuh 4.9%

Eksport domestik bukan minyak Singapura (NODX) jatuh 4.9 peratus pada Nov berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Demikian menurut data rasmi Enterprise Singapore pada Khamis (17 Dis).

Penurunan itu, iaitu menyusuli penyusutan 3.1 peratus pada Oktober, sebahagian besarnya disebabkan oleh prestasi hambar segmen bukan elektronik seperti petrokimia, farmaseutikal dan emas bukan wang, disusuli dengan elektronik.

Mengikut penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, eksport naik 3.8 peratus pada November. Eksport pada bulan sebelumnya turun 5.4 peratus. Kedua-dua eksport domestik elektronik dan bukan elektronik mencatat pertumbuhan.

Jumlah perdagangan secara keseluruhannya pula menjunam 8.7 peratus pada November, berbanding bulan sama pada tahun lalu. Kemerosotan sebanyak 9 peratus dialami pada bulan sebelumnya. Sebahagian besarnya disebabkan oleh perdagangan minyak, yang terus melemah di tengah-tengah harga minyak lebih rendah berbanding setahun lalu, setelah mengalami penguncupan pada Oktober.

Eksport keseluruhannya berkurangan sebanyak 8 peratus pada Novermber, selepas mengalami penurunan 8.7 peratus pada Oktober. Jumlah import secara keseluruhan turut menguncup 9.4 peratus pada November, menyusuli kejatuhan 9.3 peratus pada Oktober.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, perdagangan secara keseluruhannya tumbuh 3.7 peratus pada November, setelah mengecut 3.4 peratus pada bulan sebelumnya.

Eksport secara keseluruhan juga tumbuh 3 peratus pada November selepas penurunan 1.6 peratus pada Oktober, sementara import keseluruhannya naik 4.5 peratus menyusuli kejatuhan 5.2 peratus.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here