Kerajaan Pahang lulus Inisiatif Sempadan Hijau Negeri

Kerajaan Negeri meluluskan cadangan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri melibatkan sempadan Pahang dengan negeri-negeri berjiran – Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Keputusan ini dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Rabu lepas (3 November), sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Susulan itu, Kerajaan Negeri akan mewartakan Tanah Kerajaan yang telah dikenal pasti di kawasan sempadan berkenaan sepanjang kira-kira 26.806 KM dan berkeluasan 557.585 hektar, sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK), kata Menteri Besar Pahang Dato Sri Wan Rosdy Bin Wan Ismail.

Pewartaan ini menurut Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984. Menerusi pewartaan ini, Kerajaan Negeri akan menolak ringkas semua permohonan Tanah Kerajaan untuk dibangunkan di kawasan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri, berpandukan 6 (e) atau 31 (e) Kaedah-kaedah Tanah Pahang 1992.

Sebagai makluman, pewartaan HSK terbaru ini merupakan tambahan kepada HSK sedia ada, yang turut terletak dalam kawasan bersempadan dengan keenam-enam negeri – Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor itu.

Bagi Tanah Milik pula, sebarang pembangunan meliputi jajaran 500 meter sempadan negeri, hendaklah dilaksanakan secara lestari berpandukan konsep Alam Sekitar,Sosial & Tadbir Urus (ESG; Environmental, Social & Governance).

Kerajaan Negeri juga menetapkan Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri menyelaraskan syarat-syarat khas dengan Pihak-pihak Berkuasa Tempatan berkaitan, tentang perkara-perkara yang diputuskan ini.

Dengan satu lagi keputusan ‘mesra-alam’ oleh Kerajaan Negeri ini diharapkan, kawasan sempadan Pahang dengan negeri-negeri terlibat, akan terus terjamin kelestarian alam sekitarnya, In Sya Allah.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here