Arul Selvaraj ambil alih tugas Oltmans

Hoki Malaysia (KHM) hari ini melantik ketua penolong jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Arul Selvaraj sebagai ketua jurulatih yang baharu menggantikan Roelant Oltmans yang peletakan jawatannya berkuat kuasa 1 Ogos (Sabtu) lepas.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata Arul yang merupakan bekas pemain kebangsaan ditawarkan kontrak bersama KHM selama dua tahun dengan sasaran utama menyediakan pasukan terkuat bagi menghadapi temasya Sukan Asia 2022.

Subahan berkata, bekas ketua jurulatih pasukan UniKL itu yang kini berada di Dublin, Ireland dijangka memulakan tugasnya dalam tempoh dua minggu selepas tamat tempoh kuarantin wajib yang akan beliau jalani apabila pulang ke tanah air tidak lama lagi.

“Ketua jurulatih baharu (Arul) ini akan diberikan peluang untuk memilih beberapa pemain yang beliau rasa perlu diserap balik dalam pasukan kebangsaan kerana saingan Piala Tun Abdul Razak akan berlangsung dan semua pemain kebangsaan dibenar mewakili pasukan negeri masing-masing.

“Ini akan buka peluang kepada ketua jurulatih dan pasukannya untuk memilih pemain yang dirasakan patut berada dalam skuad kebangsaan,” katanya pada sidang media di Pejabat KHM di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Subahan berkata, pada masa ini, penolong jurulatih Mohd Amin Rahim akan mengambil alih tugas Arul buat sementara waktu dalam mengendalikan sesi latihan skuad kebangsaan.

Sementara itu, Subahan berterima kasih atas sumbangan Oltmans, 66, sepanjang dua tahun membimbing skuad kebangsaan.

“Pihak KHM ucapkan jutaan terima kasih atas khidmat beliau kepada pasukan kebangsaan selama dua tahun walaupun beliau ada beberapa kejohanan yang kita sebenarnya boleh capai lebih jauh tetapi gagal, namun kita faham beliau telah berikan sepenuh jiwa dan raganya,” kata Subahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here