MDKS tutup lima premis niaga dijaga warga asing tanpa kebenaran

Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengarahkan lima premis dikendali warga asing di sekitar Bestari Jaya ditutup serta-merta, selepas dipercayai menyalahgunakan lesen perniagaan.

Yang Dipertuanya berkata tindakan diambil susulan Operasi Bersepadu Premis Warga Asing di sekitar kawasan itu dan Ijok melibatkan 20 premis pada 18 Ogos lalu.

“Kesemua lesen perniagaan ditarik semula Jabatan Pelesenan MDKS untuk siasatan lanjut. MDKS boleh membatalkan lesen yang diberi jika pemilik memberi dokumen atau membuat perisytiharan palsu, mengelirukan atau tidak tepat.

“Tindakan sitaan dan arahan tutup serta merta turut dikenakan kepada sebuah pusat cuci kereta di Jalan Makmur, Ijok kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan disyaki dioperasikan warga asing,” kata Rahilah Rahmat dalam kenyataan.

Beliau berkata, pada operasi sama, seorang warga tempatan di Jalan Suria 2, Bestari Jaya ditahan bersama 74,096 rokok seludup pelbagai jenis bernilai cukai RM47,501.16.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek menjadikan peti sejuk beku di ruangan stor sebagai tempat penyimpanan barangan itu. Suspek ditahan bersama barang rampasan mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here