Atlet Sukma Selangor mula latihan penuh – Mohamad Nizam

Semua atlet Selangor untuk Sukan Malaysia (Sukma) telah memulakan latihan penuh selepas tiga bulan tertangguh, kata pemangku pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN).

Mohamad Nizam Marjugi berkata atlet perlu bersedia melakukan sedikit perubahan dalam rutin latihan susulan peraturan ketat sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pemulihan.

“Mereka perlu kembali fokus kepada latihan selepas terpaksa menjalani latihan di rumah masing-masing sejak 18 Mac lalu susulan penularan Covid-19.

“Latihan juga terikat dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dengan sebolehnya mengelakkan aktiviti bersentuhan. Selain itu semua pusat sukan atau latihan diarah menjalani proses dinyahkuman setiap kali selepas digunakan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Semalam Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kejohanan dan pertandingan sukan tanpa sentuhan seperti permotoran dan sukan acara perseorangan seperti badminton, tenis, gimnastik, papan anjal terjun dan catur dibenarkan mulai Rabu ini.

Kebenaran juga diberi kepada sukan tempur dan berpasukan seperti karate, silat, bola sepak, hoki dan ragbi untuk memulakan latihan bermula Rabu, diikuti menganjur kejohanan tempatan tanpa kehadiran penonton mulai 15 Ogos.

Sebelum ini, hanya atlet di bawah program Road to Tokyo dibenarkan menjalani latihan bermula 1 Jun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here