Kuala Krai, Ogos-
Tiga beranak nyaris maut apabila kereta yang dinaiki mereka terbalik sebelum terbakar dalam kejadian di Kampung Keroh, berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Keroh, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Durian, Penolong Bomba Tinggi II Zulhilmi Baharudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.52 petang dan anggota bergegas ke lokasi seminit kemudian.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, ketiga-tiga mangsa sudah berjaya keluar daripada kereta jenis Proton Saga yang dinaiki mereka.
Jelas beliau, ketiga-tiga mangsa yang berusia antara 11 hingga 50 tahun difahamkan dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur.
“Kenderaan mereka tiba-tiba melanggar penghadang jalan sebelum terbalik dan mengeluarkan percikan api.
“Bagaimanapun, kesemua mereka sempat keluar sebelum api marak dan memusnahkan keseluruhan kenderaan,” katanya lagi.





















