Taufan Jepun: Kapal kargo karam bersama 43 anak kapal

SEBUAH kapal kargo yang membawa 43 anak kapal dan kira-kira 6,000 ekor lembu karam selepas menghantar isyarat kecemasan semasa taufan.

Menurut seorang mangsa yang terselamat kapal Gulf Lifestock1 telah menghantar satu isyarat kecemasan awal pagi semalam pada kedudukan 185km barat Pulau Amami Oshima, Jepun.

Pasukan pengawal pantai berjaya mengesan seorang mangsa warganegara Filipina berusia 45 tahun terapung di laut.

Menurut media Jepun mangsa yang merupakan seorang pegawai berusia 45 tahun itu berkata dia segera memakai jaket keselamatan dan terjun ke laut apabila keadaan berbahaya diumumkan di atas kapal.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan pengawal pantai Jepun mereka dimaklumkan bahawa enjin kapal tiba-tiba terhenti dan sejurus kemudian satu ombak besar menghempas kapal hingga terbalik dan tenggelam.

Mangsa berkata dia tidak nampak anak kapal lain di permukaan laut sementara menunggu untuk diselamatkan.

Tiga kapal pengawal pantai, lima kapal terbang dan pasukan penyelam dihantar ke kawasan berkenaan  untuk operasi mencari dan menyelamat.

Kapal tersebut membawa 39 anak kapal warga Filipina, dua warga New Zealand dan dua warga Australia bersama 5,800 ekor lembu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here