India semalam melaporkan jumlah kes koronavirus COVID-19 telah melepasi enam juta orang, ketika pandemik semakin berleluasa di seluruh negara Asia Selatan yang luas itu.
Dengan 6.1 juta jangkitan menurut kepada kementerian kesihatan, India dijangka mengatasi Amerika Syarikat (AS) dalam masa beberapa minggu akan datang sebagai negara yang mempunyai kes paling banyak.
Ia turut merekodkan hampir 100,000 kematian.
Negara yang mempunyai 1.3 bilion penduduk ini mempunyai antara bandar paling padat penduduk di dunia dan telah lama menjangkakan sejumlah besar kes COVID-19.
India telah melaporkan 80,000 hingga 90,000 jangkitan baharu setiap hari sejak ia mula melaporkan peningkatan harian tertinggi di dunia sejak lewat Ogos.
Perdana Menteri Narendra Modi kelmarin menyeru kepada rakyat agar terus memakai penutup muka ketika mereka berada di luar rumah mereka.
“Peraturan ini merupakan senjata dalam perang menentang korona.
“Ia adalah senjata yang berkuasa bagi menyelamatkan nyawa setiap rakyat,” Modi berkata dalam ucapan bulanannya yang disiarkan di radio.
Virus pada mulanya menyerang bandar-bandar besar utama termasuk hab kewangan Mumbai dan bandar utama negara New Delhi, kemudian merebak ke kawasan wilayah dan luar bandar di mana sistem penjagaan kesihatan lemah dan tidak lengkap.
Di sebalik kemunculan penyakit yang berterusan, kerajaan kemungkinan akan melaksanakan semula kawalan pergerakan yang telah ditarik balik secara berperingkat, selepas sekatan yang tegas menjejaskan ekonomi dan kehidupan berjuta-juta orang penduduk, terutamanya golongan miskin.
Beberapa buah sekolah telah dibuka semula dan kereta api, metro, penerbangan domestik, pasar dan restoran telah dibenarkan untuk beroperasi dengan sekatan.
Anand Krishnan, profesor perubatan komuniti di All India Institute of Medical Sciences (AIIMS) di Delhi, menyatakan fokus seharusnya adalah dengan merawat orang yang dijangkiti virus.
“Jangkitan telah berada dengan jelas dalam komuniti,” beliau memberitahu AFP.
“Satu-satunya perkara yang kita dapat lakukan adalah menjaga mereka yang sakit, mengenal pasti mereka dengan cepat dan merawat mereka dengan lebih baik, serta mematuhi norma penjarakan sosial.
“Selain itu, saya tidak terfikir terdapat apa-apa yang spesifik dapat dilakukan lagi.”