Sindiket Bitcoin guna penyambungan elektrik haram

Penyambungan elektrik secara haram tanpa meter di belakang kotak penggera keselamatan antara helah baru yang digunakan perlombongan mata wang, Bitcon di daerah ini.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Pahang, Rozianis Mohd Noor berkata, dinding yang disimen di belakang kotak penggera keselamatan itu ditebuk dan dilakukan penyambungan secara haram bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan pemilik premis.

“Ia helah terbaru anggota sindiket itu. Sebelum ini mereka ada menebuk dinding dan lantai premis bagi memasukkan kabel elektrik yang disambung secara haram tanpa meter.

“Mereka juga pernah menutup sambungan kabel dan lubang yang tebuk pada dinding menggunakan banting iklan bersaiz kecil, iklan tawaran premis untuk disewa digunakan,” katanya.

Beliau berkata, itu antara taktik yang digunakan 22 premis sindiket Bitcoin di lima lokasi di daerah ini menerusi Operasi Bitcoin dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) selama dua hari bermula semalam.

Menurutnya, terdapat beberapa premis Bitcoin beroperasi di Fajar Jaya, Gambang, Jaya Gading, Kemunting dan Balok dikesan, namun ketika serbuan dilakukan semua premis tiada penjaga.

“Kebanyakan premis yang diperiksa pernah diserbu sebelum ini, namun sindiket tersebut beroperasi semula dengan membuat penyambungan elektrik haram baharu.

“Sebab itu, pihak TNB memandang serius dengan kegiatan sindiket Bitcon itu kerana mereka berani membuat penyambungan elektrik secara haram tanpa meter sehingga menyebabkan TNB berdepan kerugian setiap tahun.

“Sebagai contoh pada tahun lalu, TNB Pahang rugi kira-kira RM3.2 juta angkara perbuatan sindiket itu,” katanya.

Dalam pada itu, Rozianis berkata, bermula tahun ini, TNB bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah setiap kali mengadakan operasi.

Katanya, ia kerana kuasa menyita barangan dan peralatan yang terdapat dalam premis Bitcoin di bawah kuasa PBT dan percaya tindakan ini dapat melumpuhkan kegiatan terbabit.

“Saya difahamkan pada operasi Bitcoin siri kelima kali ini, MPK turut bertindak memusnahkan bilik dalam premis yang disediakan tanpa kebenaran.

“Kegiatan perlombongan Bitcoin membabitkan penggunaan rangkaian komputer berkuasa tinggi dan beroperasi selama 24 jam.

“Bagi mengelak membayar bil yang tinggi, sindiket bertindak mencuri bekalan elektrik dengan cara membuat sambungan haram tanpa meter,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here