Ops Durian berkas 110 warga asing

Sebanyak 11 buah kebun durian Musang King dan tiga kilang memproses raja buah di daerah ini diserbu dalam empat siri Ops Durian setakat ini.

Dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia bermula 13 Ogos lalu, seramai 110 warga asing termasuk enam wanita berjaya diberkas di kediaman pekerja, rumah kongsi dan kilang selain di rumah majikan terlibat.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, jumlah tersebut menyaksikan seramai 94 warga Indonesia ditahan diikuti Myanmar (8 orang), Bangladesh dan Pakistan masing-masing empat orang.

“Antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak memiliki dokumen sah dan tinggal lebih masa menggunakan pas lawatan sosial.

Antara sebahagian warga asing yang berjaya diberkas dalam empat siri operasi setakat ini.

“Kesemua mereka itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) i iaitu tidak memiliki dokumen sah dan Seksyen 15(1) (c) i iaitu tinggal lebih masa.

“Tahanan akan dibawa ke Depoh Kemayan untuk ditahan reman bagi siasatan lanjut,” katanya.

Hadir sama dalam operasi tersebut, Pengarah Imigresen Pahang, Muhammad Hatta Kasim.

Khairul (tengah) ketika meninjau pemeriksaan oleh anggota terlibat dalam operasi di sebuah kilang di Raub hari ini.

Dalam pada itu, Khairul memberitahu beberapa cabaran dihadapi oleh anggota terlibat antaranya insiden dikejar anjing selain kawasan yang luas dan berbukit bukau.

“Ia merangkumi kawasan luas hingga membabitkan keluasan kira-kira 8,893 hektar, berselerak dan berbukit bukau, selain ada pemilik kebun menggunakan khidmat anjing terlatih hingga ada anggota jabatan itu dikejar haiwan terbabit.

“Operasi juga terpaksa dijalankan pada waktu tengah malam atau awal pagi supaya kehadiran mereka tidak dapat dikesan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here