Jabatan Hutan Sarawak (JHS) perlu memperhebat peranan untuk melindung dan memelihara hutan di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurutnya, keupayaan melalui kejuruteraan semula jadi harus diteliti agar tidak hanya bergantung kepada pendapatan berasaskan kayu.
“Sumber pendapatan baharu yang dapat kita terokai adalah sumber karbon, ekopelancongan, produk kesihatan dan perubatan berasaskan hutan, dan hasil kayu bukan hutan,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di sini, pada malam Khamis.
Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua berkata, industri ladang hutan memainkan peranan penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada hutan asli untuk mendapatkan kayu balak bagi menampung industri perkayuan.
“Oleh itu, kerajaan komited untuk memastikan pembangunan ladang hutan mencapai sasaran kualiti dan keluasan yang telah ditetapkan iaitu sejuta hektar menjelang 2025.
“Demikian juga dengan pelaksanaan program restorasi landskap hutan yang selari dengan hasrat kerajaan untuk menghijaukan Sarawak,” tambahnya.
Jelasnya, program itu perlu dilaksana secara sistematik bukan sahaja untuk mengekalkan keluasan kawasan hutan tetapi untuk memastikan hutan diurus dengan baik.
“Bagi menjayakan program restorasi landskap hutan ini, saya ingin menyeru supaya lebih banyak syarikat korporat, swasta, agensi kerajaan, NGO, institusi pengajian tinggi dan sekolah serta pihak awam untuk tampil ke hadapan membantu Kerajaan Sarawak menjayakan agenda penting ini,” ujarnya lagi.
Seramai 72 orang menerima sijil APC 2019 selain turut meraikan 24 kakitangan JHS yang telah dan akan bersara pada tahun ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion; Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin dan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting antara yang turut hadir.