ADN Sentosa gigih atasi isu tapak pembuangan sampah haram

Masalah pembuangan sampah haram antara kesulitan utama yang sering dihadapi Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunarajah sejak bergelar wakil rakyat lebih dua tahun lalu.

Cakna mengenai isu berkenaan, beliau berusaha gigih mengatasinya dari berlarutan. Hasil-
nya masalah itu kian berkurangan.

“Saya perkenalkan kempen Bersih dan Hijau sejak 28 April tahun lalu untuk memastikan Sentosa sentiasa bersih dan memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

“Saya juga mengadakan program gotong-royong bersama beberapa sekolah dan berjaya mengutip 1,106kg sampah,” katanya.

Beliau yakin masalah itu dapat diselesaikan melalui kerjasama Majlis Perbandaran Klang dan KDEB Waste Management seterusnya memastikan Sentosa bebas daripada ‘tapak’ pembuangan sampah haram.

Banjir kilat

Gunarajah mengesan dua lagi masalah iaitu banjir kilat dan ketiadaan pasar harian yang diperlukan peniaga bagi meningkatkan taraf ekonomi hampir 52,000 penduduk.

Kekerapan banjir pula ekoran longkang tersumbat dan tanah mendap. Isu tersebut diatasi dengan bantuan agensi kerajaan yang melaksanakan projek tebatan.“Dengan adanya pasar harian kekal akan memudahkan masyarakat mendapatkan barang keperluan makanan dengan selesa,” katanya.

Selain itu, pelbagai inisiatif ditawar kepada penduduk ke arah menjadi negeri pintar. Beliau juga berharap Kerajaan Negeri meneruskan projek pembangunan seimbang dari sudut sosioekonomi mahupun prasarana.

Gunarajah turut memuji kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yang selalu mengutamakan rakyat daripada mencampuri urusan politik.

“Kerajaan pimpinan Amirudin sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas pentadbiran beliau, malah pelbagai sumbangan diperkenalkan dan masih diteruskan bagi membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here