AMANAH berharap Agong tolak cadangan PM isytihar darurat

Kedengaran bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) telah menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat atas alasan ancaman COVID-19.

Sekiranya berita ini benar, Parti Amanah Negara (AMANAH) menyatakan bantahan yang sekeras-kerasnya terhadap cadangan tersebut.

AMANAH berharap KDYMM Seri Paduka Baginda YDPA akan menolak cadangan Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat dan sebaliknya mempertahankan institusi demokrasi berparlimen sekaligus menyelamatkan institusi Raja Berperlembagaan daripada diheret dalam sengketa dan mainan politik pihak berkuasa.

Menurut AMANAH, cadangan mengisytiharkan darurat adalah tindakan politik yang ingin mengambil kesempatan daripada bencana gelombang ketiga Covid-19 dan ini akan hanya menambahkan derita yang sedia dihadapi rakyat.

“Mahu tidak mahu perisytiharan darurat akan mempunyai kesan negatif terhadap kehidupan rakyat, ekonomi negara serta menjejaskan imej Malaysia di kacamata pelabur antarabangsa dan masyarakat dunia.

“AMANAH berkeyakinan TSMY telah hilang sokongan majoriti dan tindakan ini bertujuan menyelamatkan dirinya daripada terpaksa menghadapi Usul Undi Tidak Percaya di Parlimen.

“Beliau juga gusar kemungkinan gagal mendapat sokongan terhadap pembentangan Belanjawan 2021,” kata AMANAH dalam sati kenyataan.

AMANAH juga berpendapat, sepatutnya TSMY mengakui kehilangan sokongan majoriti dan meletak jawatan dan ini adalah tindakan yang lebih bermaruah dan bertanggungjawab berbanding perisytiharan darurat.

Katanya, tindakan meletak jawatan ini akan menyelamatkan negara daripada terjerumus dalam sengketa perebutan kuasa berpanjangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here