Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan darurat perlu diadakan untuk menghentikan perebutan kuasa dan menyelamatkan rakyat daripada koronavirus (Covid-19).
Beliau berkata, pada ketika ini terdapat ribuan rakyat berada di hospital termasuk ribuan petugas barisan hadapan dan anggota keselamatan menjalani kuarantin.
“Berbilion dana negara terpaksa dibelanjakan. Itu dalam keadaan Malaysia diiktiraf dunia sebagai negara paling berjaya mengekang penularan wabak ini. Bagaimana agaknya kalau dalam tempoh dua tiga bulan ini kita mendahulukan perebutan kuasa politik demi demokrasi di saat rakyat sedang bertarung nyawa dengan ancaman Covid-19.
“Kuasa apa dan undang-undang mana boleh kita tangguh perebutan kuasa ini? Terima kasih atas nasihat perundangan yang bakal diberi.
“Kini jelas sudah kenapa undang-undang darurat kesihatan atau politik terpaksa dikuatkuasakan.
“Ternyata ada pihak yang tidak berpuas hati pada pentadbiran yang semakin diterima oleh rakyat hanya kerana ingin terlepas dari sesuatu yang akan menyusahkan mereka.
“Dan boleh saja halangan itu datang dari orang-orang yang tamakkan kuasa tanpa memikirkan keharmonian atau kesihatan orang lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Dalam pada itu, Annuar turut mencetuskan beberapa senario yang sedang berlaku dalam negara.
“Kepada sahabat saya yang punya ilmu undang-undang, terutama ‘constitutional experts’ bantu saya mencari jawapan perkara berikut yang berkait dengan ketakutan rakyat terhadap penularan Covid-19.