Hotel tawar perkhidmatan kreatif bekerja dari hotel

Beberapa hotel di sekitar ibu negara dilihat mengambil pendekatan kreatif dan inovatif menerusi pakej bekerja dari hotel untuk para pelanggannya yang mahu mendapatkan suasana kerja yang selesa dan kondusif.

Langkah tersebut diambil susulan daripada kesan penularan Covid-19 yang mengakibatkan industri pelancongan jatuh merudum.

Selain itu, langkah kerajaan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu dan kini PKP Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang menyebabkan industri perhotelan semakin tertekan.

Antara hotel yang menyediakan perkhidmatan unik itu ialah Ormond Hotel yang terletak di Chow Kit, Kuala Lumpur yang mengenakan bayaran serendah RM30 sehari bagi membolehkan pelanggan bekerja di hotel berkenaan bermula jam 9 pagi hingga tiga petang.

Pelanggan juga boleh menikmati hidangan kopi tanpa had sepanjang hari dan hidangan makanan pula dengan diskaun sebanyak 30 peratus.

Selain itu, turut menyediakan perkhidmatan yang sama ialah hotel Holiday Inn Express yang terletak di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur dengan capaian internet yang stabil serta bilik yang selesa.

Pakej bekerja dari hotel turut ditawarkan oleh Hotel Holiday Inn dengan harga RM85 seorang dan pelanggan boleh meletak kereta secara percuma di samping akses percuma kepada seluruh fasiliti yang berada di situ.

Pada Jun lalu, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan melaporkan kerugian semasa yang dialami industri pelancongan dan budaya tahun ini dianggarkan mencecah RM45 bilion dalam tempoh Januari hingga Jun 2020.

Menurut laporan berkenaan, pekerja dalam sektor pelancongan turut terkesan apabila ramai yang terjejas dalam tempoh berkenaan.

Berdasarkan angka dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi April tahun ini, jumlah pekerjaan menurun sebanyak satu peratus kepada 14.93 juta orang dalam tempoh sama tahun lalu.

Antara tenaga kerja yang paling terjejas adalah dalam sektor perkhidmatan seperti penginapan, penyediaan makanan dan minuman, seni, hiburan serta rekreasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here