‘KEMBAR TNB’ TERANGI DEEPAVALI

Tenaga Nasional Berhad (TNB) kembali menerangi sambutan perayaan Deepavali dengan sebuah filem pendek bertajuk ‘Kembar Mencabar Deepavali’ yang memaparkan mesej keutuhan kasih sayang mengatasi apa jua perbezaan dan perubahan zaman.

Filem ini mengisahkan kehidupan sepasang kembar serupa (seiras) tapi tak sama (berbeza karakter), Deepalakshmi dan adiknya Poojalakshmi atas keperibadian yang sangat berbeza bagai mewakili dua zaman, tradisi dan moden.

Pasangan kembar ini sering berselisih faham dengan Deepalakshmi suka melakukan perkara serba teratur dan mengikut tradisi manakala Poojalakshmi lebih bersahaja dan gemar sentuhan teknologi moden.

Pertembungan perbezaan itu memuncak ketika kedua-duanya sibuk menghias rumah sempena Deepavali. Namun, akhirnya masing-masing sedar bahawa mereka bersama boleh membawa keceriaan Deepavali dengan mengenepikan perbezaan untuk saling membantu dan bekerjasama.

“Dalam suasana sekarang yang tidak pasti dan mencabar ini, penting bagi kita semua untuk kembali menghayati erti perayaan, iaitu mengukuhkan ikatan kekeluargaan antaranya menerusi persefahaman dan toleransi,” kata Ketua (Komunikasi Korporat), Komunikasi Korporat Kumpulan TNB, Datuk Baderul Sham Saad.

“Umpama air dicincang takkan putus, keperibadian berbeza tidak sepatutnya memisahkan ahli keluarga. Ikatan kekeluargaan cukup teguh untuk mencetuskan sinar kebaikan antara satu sama lain.

“Kasih sayang walau sepesat manapun zaman tidak akan hilang. Begitu jugalah peranan TNB menerangi Malaysia sebagai Penggerak Kemajuan Negara, memberikan kesejahteraan kepada rakyat sejak 71 tahun yang lalu,” kata Baderul.

‘Kembar Mencabar Deepavali’ akan bersiaran mulai 11 November 2020 secara dalam talian di saluran YouTube TNB (youtube.com/TENAGAofficial #KembarMencabarDeepavali #DoubleTroubleDeepavali). Filem berdurasi 60 saat akan disiarkan di stesen-stesen TV tempatan mulai 13 November 2020.

Di akhbar dan media sosial pula, iklan ini menawarkan pengalaman realiti terimbuh (augmented reality) yang membolehkan pembaca dan penonton menjelajah rumah pasangan kembar ini menerusi pengimejan maya 360 darjah, bagi merasai kemeriahan Deepavali dengan lebih mendalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here