Tiga diberkas polis dalam serbuan dadah di Kabong

Seorang warganegara Indonesia bersama dua warga tempatan diberkas pihak polis berkaitan kes dadah di kawasan Kampung Alit Kabong kira-kira jam 11.50 malam tadi.

Serbuan dilakukan oleh pihak polis di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tengah Alit dekat sini.

Ketua Polis Daerah (KPD) Saratok, DSP Mordani Tanin mengesahkan perkara tersebut dan menjelaskan tangkapan telah dibuat terhadap dua lelaki dan seorang wanita di dalam rumah yang sama.

“Pemeriksaan dilakukan di rumah terlibat dan didapati ada seorang lelaki warganegara Indonesia bersama seorang perempuan berada di dalam sebuah bilik.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap warganegara Indonesia di dalam bilik tersebut telah menjumpai dua paket plastik kecil lutsinar berisi ketulan kristal di dalam saku seluar sebelah kanan dan 1 paket kecil lutsinar berisi ketulan kristal dalam saku seluar sebelah kiri. Suspek mengaku barang yang dijumpai adalah miliknya.

“Pengeledahan seterusnya dilakukan telah menjumpai satu beg kain warna krim berbunga merah jambu yang berdekatan dengan suspek berada di atas lantai dalam bilik tersebut. Setelah diperiksa di dalam beg tersebut ada dua paket plastik besar lutsinar. Satu paket plastik sederhana lutsinar dan lima paket plastik kecil lutsinar. Kesemuanya berisi ketulan kristal lutsinar yang dipercayai dadah jenis syabu dengan anggaran berat lebih kurang 235.54 gram,” ujarnya.

Suspek warga Indonesia berkenaan mengaku bahawa barang tersebut miliknya. Turut dijumpai sebuah beg berisi wang tunai RM10, 841.00 yang dipercayai hasil jualan dadah.

Dua lagi suspek warga tempatan yang merupakan seorang wanita berumur 28 dan lelaki 40 tahun yang turut diberkas mengaku ada mengambil dadah jenis Syabu.

Ketiga-tiga suspek kemudiannya telah ditahan di bawah Seksen 39B ADB 1952 dan dibawa ke Balai Polis Kabong untuk tindakan selanjutnya.

Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Saratok tengah hari tadi. Kesemua suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here