Muhyiddin tidak gentar dengan sokongan bersyarat daripada Umno

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih berkeras dengan tuntutan pengeluaran one-off RM10,000 caruman Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurutnya, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan tidak gentar dengan sokongan bersyarat daripada Umno dan blok pembangkang pada pengundian Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021, 23 November ini.

“Tinggal tiga hari lagi Belanjawan 2021 akan diundi. PM nampak berkeras. Dia tidak takut dengan sokongan bersyarat parti lawan apatah lagi Umno.

“Dia (Muhyiddin) juga tidak takut pada Najib, Mahathir, Anwar, dan Zahid. Itu semua kacang pada dia. Ku Li sudah putus tidak mahu bahas Belanjawan.

“Itu bermakna PN hilang satu undi. PM tidak takut pada mana mana kumpulan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Walau bagaimanapun, Puad yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu menganggap Muhyiddin bakal bertembung dengan “satu kumpulan” dalam PRU15 nanti iaitu Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).

“Kumpulan ini ada 7.6 juta ahli aktif. Ahli Umno cuma 3.5 juta sahaja. Tunggulah di PRU nanti, kalau PM kekal tolak keluar one off RM10,000 dari Akaun 1 termasuk syarat ketat I-Sinar.

“Ini pertembungan “buku dengan ruas”. Jangan perlekehkan kuasa Kumpulan KWSP ini. Kumpulan ini boleh merotan,” tegas Puad lagi.

Pada 10 November lalu, Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021 dengan menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran ‘one-off’ hingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain melanjutkan moratorium.

Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), turut berkata, pindaan terhadap Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 wajar dilakukan, mengambil kira situasi luar biasa dihadapi negara ketika ini susulan pandemik Covid-19.

Muhyiddin sebelum ini mengakui kerajaan pada mulanya amat berat hati meluluskan pengeluaran Akaun Satu KWSP.

Bagaimanapun, selepas desakan banyak pihak, kerajaan kemudiannya memberikan kelonggaran untuk meluluskan pengeluaran akaun satu KWSP kepada golongan sasar.

Sejak minggu lalu, perbahasan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 mengundang perdebatan hangat, sama ada membabitkan Ahli Parlimen blok pembangkang bahkan kerajaan yang rata-rata mahukan Belanjawan 2021 dipinda dengan beberapa penambahbaikan.

Selain penggulungan perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2021 minggu ini, tumpuan terarah pada 23 November nanti apabila belanjawan dijangka melalui proses pengundian oleh 220 Ahli Parlimen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here