Selangor Kekal Rekod Kes Harian Baharu Tertinggi

Selangor kekal merekodkan kes harian tertinggi bagi COVID-19 dengan 673 kes iaitu 39.5 peratus daripada keseluruhan1,704 jumlah kes baharu bagi tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 119,077 manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 21,365 kes.

“Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,699 kes,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 semalam.

Beliau memaklumkan daripada 673 kes baharu di Selangor, 509 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Katanya Sabah merupakan negeri kedua tertinggi dengan 316 kes (18.5 peratus) diikuti Johor sebanyak 179 kes (10.5 peratus).

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 74 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan Imigresen dan penjara membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (56 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (tujuh), Kluster Tembok Choh (lima), Kluster Tembok Gajah (tiga), Kluster Tembok (dua) dan Kluster Kolam Air (satu).

Beliau turut memaklumkan sejumlah 11 kematian direkodkan membabitkan 10 rakyat tempatan dan seorang bukan warganegara berumur lingkungan 53 hingga 77 tahun, yang terdiri daripada tujuh lelaki dan empat perempuan.

Katanya ketika ini terdapat 124 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 51 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 2,726 kes sembuh dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 ialah sebanyak 97,218 (81.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here