Kenapa PN takut dengan ‘budak’ dan ‘lelaki tua’?

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang beranggapan ketika ini parti-parti politik yang membentuk kerajaan tidak bersungguh menyelamatkan negara dari ancaman Covid-19, sebaliknya mereka sibuk merebut kuasa untuk memastikan ‘survival’ parti sendiri.

Beliau berkata, ini dapat dilihat melalui penolakan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang diasaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurutnya, beliau sependapat dengan kenyataan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menolak pendaftaran kedua parti itu sebagai perkara yang tidak boleh diterima.

“Mengapa kerajaan PN begitu takut dengan seorang budak dan lelaki tua?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Kit Siang berkata, permainan kuasa sedang berlaku antara tiga parti di dalam gabungan kerajaan iaitu Bersatu, Umno dan Pas yang menurutnya hanyalah mementingkan survival parti politik dan bukannya untuk kepentingan negara.

Beliau mendakwa, Bersatu tidak mahu dihancurkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sementara Umno pula percaya bahawa parti mereka akan dapat memenangi kerusi Parlimen yang mencukupi untuk kembali berkuasa di Putrajaya.

Manakala Pas pula disisi lain sedang berharap untuk mendapat lebih banyak ruang untuk bertanding di kerusi Parlimen dan DUN sekiranya mereka bekerjasama dengan Bersatu

Tetapi kata Kit Siang, kesemua parti kerajaan itu sama sekali tidak peduli dengan kepentingan nasional yang memperlihatkan mereka tidak bersiap untuk menentang rasuah.

“Ketika kumpulan Trump menyerang Capitol Hill di Washington untuk menyokong usaha Trump menjatuhkan presiden AS yang dipilih melalui pilihanraya, saya terus terfikirkan ‘Trump Malaysia’ dan tentang pertanyaan yang diajukan oleh Dr Mohamad Raick Khan di salah satu blognya:

“(Dr Mohamad Raick berkata): bagaimana seseorang mahu menjelaskan apabila individu yang disabitkan dengan tuduhan rasuah diperlakukan seperti selebriti dan dianggap sebagai penyelamat terakhir untuk membantu negara?

“Adakah kita belajar dari pengajaran ini untuk mengelakkan kesilapan terburuk seperti negara lain?,” soal kit siang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here