Keputusan Bank Negara kekal OPR, langkah tepat

Bank Negara Malaysia mengambil langkah tepat dalam mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75% kerana manfaat pemotongan baharu “tidak banyak”.

Ahli ekonomi Firdaos Rosli dari Malaysian Rating Corporation Bhd berkata, ini kerana reflasi (manfaat daripada rangsangan kerajaan) dan perbezaan antara perintah kawalan pergerakan (PKP) tahun lepas dan PKP 2.0 yang bermula pada 13 Jan.

Semalam, bank pusat mengekalkan kadar OPR walaupun terdapat jangkaan ia akan menurunkan kadar itu sebanyak 25 mata asas.

Bercakap kepada FMT, Firdaos berkata, PKP pertama “lama dan keras”, justeru pemotongan kadar faedah perlu bagi menstabilkan kesan kejatuhan ekonomi.

“PKP 2.0 kurang menghukum pertumbuhan, dan walaupun ia akan memberi impak, ia tidak memerlukan pemotongan OPR lain kerana dasar fiskal semasa sudah cukup untuk membawa kita ke arah pemulihan ekonomi.

“Saya rasa lebihan kepada pengguna susulan penurunan kadar baharu tidak banyak.”

Tambah beliau, pemotongan OPR tidak akan menguntungkan orang ramai, terutama kumpulan berpendapatan rendah kerana OPR kini berada pada tahap terendah.

“Jumlah orang yang akan mendapat manfaat dari padapemotongan OPR sangat kecil.”

CEO Pusat Pendidikan Pasaran, Carmelo Ferlito berkongsi pandangan sama mengenai keputusan untuk mengekalkan kadar itu dengan berkata, walaupun pemotongan OPR bertujuan merangsang ekonomi, ia tidak semestinya baik.

Katanya, ini kerana ia mungkin mendorong orang ramai berbelanja lebih pada ketika Covid-19 memaksa harga barang dan perkhidmatan turun.

“Walaupun kita perlu kuasa beli dipulihkan, namun simpanan isi rumah yang mungkin banyak digunakan juga perlu dipulihkan semula.

“Ini bagi memastikan terdapat dana yang mencukupi untuk pelaburan dalam tempoh pasca Covid-19.”

Ferlito juga berkata OPR yang terlalu rendah akan memberi insentif kepada pelaburan buruk yang mungkin tidak dibuat dalam keadaan yang berlainan.

“Sesetengah orang akan membuat ‘pelaburan buruk’ kerana harganya yang murah, tetapi ini mungkin tidak mampan dan membawa ekonomi ke dalam kitaran ‘boom-and-bust’.

“Fokus kita haruslah untuk membina keyakinan perniagaan kerana pelaburan baharu dipacu berdasarkan jangkaan keuntungan yang mampan. “

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here