Sindiket Judi Online ada TUKANG MASAK!!!!

Sindiket perjudian dalam talian menjadikan kilang dua tingkat yang terbiar di Kota Damansara dekat sini sebagai markas rahsia mereka.

Bangunan itu dijadikan calling centre dan khidmat pelanggan dan bagi mengaburi mata mata pihak berkuasa,  seorang pengawal keselamatan warga tempatan diupah untuk memantau pergerakan individu keluar masuk di kawasan berkenaan.

Selain itu operasi yang sama turut mengupah seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun lebih RM2,000 sebulan sebagai tukang masak dan penyaji makanan kepada ahli sindiket itu setiap hari.

Semuanya terbongkar apabila kegiatan di premis berkenaan diserbu polis malam tadi.

Pegawai Turus D7 Jabatan Siasatan Jenayah D7 Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Deputi Superintendan Zuhairee Mohd Rashid berkata, sindiket itu ditumpaskan menerusi satu operasi Ops Dadu yang disokong kekuatan empat pegawai kanan dan 11 anggota JSJ D7 IPK Selangor serta dibantu Bahagian Forensik D10 JSJ Bukit Aman.

Pasukan itu juga turut disertai oleh pakar judi bagi tujuan analisa bermula 5.30 petang hingga 8.30 malam tadi.

Serbuan dilaksanakan di premis kilang terbiar di Jalan PJU 3/47, Sunway Damansara Teknologi Park, Kota Damansara dekat sini selepas bertindak atas risikan dan pemantauan sejak beberapa minggu lalu.

“Hasil serbuan kita berjaya menahan seorang lelaki tempatan merupakan pengawal keselamatan yang ditugaskan ‘menghidu’ kehadiran individu tidak dikenali dengan gaji bulanan RM2,500 hingga RM3,000 sebulan dan waktu mengawal bermula 12 tengahari  hingga 11 malam setiap hari.

 “Pemeriksaan lanjut berjaya membawa kepada penahanan tujuh individu termasuk seorang warga Taiwan yang leka terlibat dalam perjudian atas talian tanpa menyedari kehadiran polis di sebuah bilik berhawa dingin yang direka khas di tingkat dua premis kilang kosong itu,” katanya ketika ditemui selepas serbuan dibuat malam tadi.

Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 35 tahun dan terlibat dalam kegiatan judi online itu baru beroperasi sebulan lebih.

“Modus operandinya adalah menjadikan sebuah kilang IKS (industri kecil dan sederhana) dua tingkat yang kosong sebagai calling centre dan customer service bagi aktiviti perjudian atas talian yang menysasarkan pelanggan di Malaysia,” kata Zuhairee.

Menurutnya, dalam bilik judi itu polis turut menemui sembilan buah komputer yang aktif digunakan untuk perjudian, telefon pintar iPhone dan beberapa telefon bimbit jenama lain yang kesemuanya berjumlah 17 buah.

Polis turut menemui bilik khas dilengkap penyaman udara yang menjadi tempat tidur kepada kesemua suspek sindiket itu.

Zuhairee memaklumkan sindiket itu menggunakan kaedah mengiklankan promosi judi atas talian kepada pelanggan untuk perjudian atas talian melalui medium forex yang memerlukan pelanggan mendepositkan bayaran tertentu bagi tujuan mendapatkan ID dan kata kunci memulakan permainan.

Tambah beliau, sindiket itu menggunakan aplikasi laman sesawang utama http://m1. da896. com bagi menawarkan perjudian secara online kepada pelanggan menerusi cara promosi, menguruskan dan pembayaran kepada pelanggan yang menang.

“Sindiket ini didapati menggunakan akaun bank tempatan  bagi tujuan transaksi dan deposit wang hasil perjudian ini dengan semua pelanggan-pelanggan yang menyertai permainan judi secara atas talian ini.

 “Kesemua suspek ditahan dan juga barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala suspek warga Taiwan akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen dibawah Akta Imigresen 1959/63 untuk menentukan kelulenan pasport perjalanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here