10 orang termasuk 3 kanak-kanak cedera dalam kebakaran di flat

10 orang cedera dan terhidu asap setelah satu kebakaran berlaku pagi tadi (28 Feb) di sebuah flat HDB di Whampoa.

10 individu itu, termasuk tiga kanak-kanak, dibawa ke beberapa hospital, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam satu catatan Facebook.

SCDF menyatakan ia dimaklumkan pada kira-kira pukul 9.00 pagi kepada kebakaran di Blok 22 Jalan Tenteram.

Api yang “marak” menyelubungi seluruh rumah yang terletak di tingkat dua itu, menurut SCDF. Enam orang berjaya menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba tiba di tempat kejadian.

Dua daripada mereka ditemui dalam keadaan cedera di tingkat bawah dan diperiksa oleh seorang anggota paramedik dan Khidmat Perubatan Kecemasan SCDF.

Pada masa yang sama, para anggota bomba dari Balai Bomba Pusat memadamkan api menggunakan jet air dan dua pek buih udara padat.

Sekitar 100 penduduk dari blok terjejas dipindahkan oleh SCDF dan polis. Beberapa rumah yang terletak bersebelahan dan di atas unit yang terjejas mengalami kerosakan akibat kebakaran dan asap, menurut SCDF.

“Siasatan awal terhadap kebakaran itu mendapati ia berasal dari punca elektrik di bilik tamu,” ia menambah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here