Pengamal perubatan swasta diberi kuasa kendali kes positif COVID-19

Seramai 186 pengamal perubatan swasta diberikan kuasa di bawah Seksyen 10 (2) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 bagi mengendalikan kes positif COVID-19 berkuat kuasa hari ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, kesemua mereka berkuasa mengeluarkan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah atau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID serta arahan pemakaian gelang kuarantin.

“Pengamal perubatan swasta ini dibenar mengendalikan kes positif COVID-19 di tempat mereka bekerja sama ada di klinik atau hospital swasta,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan buku ‘The COVID-19 Chronicles of Malaysia | Navigating the Storm’, di sini semalam.

Mengenai pecahan pengamal perubatan swasta terbabit mengikut negeri, Dr Adham berkata Selangor mempunyai jumlah tertinggi iaitu 66, diikuti Kuala Lumpur (43), Johor (26), Pulau Pinang (16) dan Negeri Sembilan (13).

Selebihnya adalah masing-masing empat di Melaka dan Perlis, Perak dan Terengganu masing-masing tiga, Pahang, Kelantan dan Sabah masing-masing dua, manakala Kedah dan Putrajaya masing-masing satu.

Dr Adham berkata, Pejabat Kesihatan Daerah diberi tanggungjawab menyediakan garis panduan kepada pengamal perubatan swasta terbabit.

Mengenai proses vaksinasi bagi barisan hadapan, Dr Adham berkata, sasaran 60 peratus daripada 500,000 petugas barisan hadapan mendapat suntikan vaksin COVID-19 dijangka dicapai minggu ini.

Sehingga kini, katanya 195,923 individu telah mendapat suntikan.

Seramai 4.68 juta rakyat negara ini telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here