Pak Bakhari, Penggoreng Kuey Teow ‘Lejen’ Alor Setar Sudah Meninggal Dunia

Hidangan kuey teow goreng dengan udang segar yang dikupas bersama telur dan kerang, dimasak pula mengunakan dapur arang untuk menaikkan aroma pastinya menggiurkan sesiapa sahaja.

Bagi penduduk Kedah, kuey teow goreng Pak Bakhari yang terletak di Simpang Kuala, Alor Setar ini tidak asing lagi kerana memang terkenal dengan kesedapannya. Ianya sering menjadi pilihan ramai termasuk dari penduduk luar Kedah.

Namun, selepas ini tiada lagi kuey teow ‘lejen’ Pak Bakhari buat semua pelanggan setianya kerana beliau dilaporkan telah meninggal dunia semalam, menurut kenyataan di Facebook Jalan-Jalan Cari Makan Di Kedah – Rasmi.

”Dukacita dimaklumkan bahawa Pak Bakhari, penggoreng kuey teow ‘lejen’ di Simpang Kuala, Alor Setar telah meninggal dunia sebentar tadi.

”Salam takziah buat keluarga Pak Bakhari. Satu kehilangan besar buat peminat koaytiow beliau,” tulis kenyataan.

Pemergian arwah yang telah memulakan perniagaan kuey teow sejak tahun 1980-an disifatkan sebagai kehilangan besar buat pencinta hidangan ini.

Kuey teow yang digoreng sendiri oleh arwah mempunyai keunikan rasanya yang dikatakan tidak sama dengan yang lain. Salam takziah, semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here