Sindiket seleweng LPG dan minyak masak di P.Pinang tumpas

Kementerian Perdagangan Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dan minyak masak bersubsidi yang dianggarkan bernilai hampir RM50,000 dalam dua serbuan berasingan di Seberang Perai Selatan.

Pengarah KPDNHEP negeri Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, serbuan dilakukan oleh lapan pegawai penguat kuasa pada jam 5 pagi semalam telah merampas 1.7 tan LPG dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM21,000.

“Ketika serbuan, seorang suspek warga tempatan berumur 29 tahun sedang memindahkan 20 tong LPG bersubsidi ke 20 tong gas industri. Serbuan dijalankan berdasarkan maklumat risikan yang telah dijalankan lebih dua bulan kerana kita mahu menangkap suspek ketika sedang leka membuat kerja,” katanya kepada pemberita semasa meninjau lokasi serbuan semalam.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut turut menemukan sebanyak 17 tong LPG bersubsidi yang masih berisi dan 16 tong gas yang telah kosong, 24 unit paip hos dan sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut LPG dan kesemua barang tersebut akan disita untuk siasatan lanjut.

Dalam satu lagi serbuan yang dijalankan di sebuah lot berpagar yang terletak di Mukim 14, Seberang Perai Selatan pada 1.25 petang, kelmarin, Mohd Ridzuan berkata, KPDNHEP Pulau Pinang berjaya merampas 1.3 tan minyak masak bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM26,700 daripada sebuah syarikat yang disyaki menjalankan kerja-kerja penyelewengan.

Beliau berkata ketika serbuan, didapati 47 kotak minyak masak bersubsidi berada di atas sebuah lori manakala tujuh kotak lagi djumpai di dalam bangsal yang didirikan di lot berkenaan.

“Turut ditemui, sejumlah bungkusan minyak masak peket satu kilogram yang telah digunting, satu tong dram plastik yang berisi cecair disyaki minyak masak, sebuah lori, dua tangki plastik yang berisi minyak masak, satu pam elektrik dan sambungan paip.

“Siasatan lanjut mendapati lot yang didaftarkan atas satu syarikat perniagaan yang tidak memiliki apa-apa lesen atau kebenaran untuk menyimpan, memproses atau menjual minyak masak berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang merupakan barang kawalan,” katanya.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut mengingatkan bahawa penyalahgunaan dan penyelewengan barang-barang bersubsidi merupakan satu pengkhianatan kepada negara kerana kerajaan telah mengeluarkan belanja untuk memberikan subsidi kepada barang-barang ini khasnya buat golongan sasaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here