Belgium berjaya tebus semula Euro 2016

Belgium menebus kembali kejutan dibuat oleh Wales ketika tersingkir di peringkat suku akhir Euro 2016 apabila bangkit dari ketinggalan sebelum menang 3-1 untuk memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2022 pada Rabu.

Kevin De Bruyne, Thorgan Hazard dan Romelu Lukaku menjaringkan gol untuk Belgium, pasukan ranking nombor satu dunia di Leuven, selepas Harry Wilson meletakkan Wales di hadapan.

Wales sekali lagi dibimbing jurulatih sementara, Robert Page pada bulan ini selepas jurulatih Ryan Giggs diberi cuti sementara menunggu siasatan dakwaan melakukan serangan ke atas teman wanitanya.

Giggs ditahan pada bulan November tahun lepas ekoran laporan perbalahan dengan teman wanitanya. Beliau menafikan menyerang teman wanitanya dan bulan lepas, ikat jaminnya dilanjutkan sehingga 1 Mei.

Page juga membimbing Wales ketika menewaskan Ireland dan Finland untuk membantu pasukan naik ke kelompok elit Liga Negara UEFA pada bulan November tetapi barisan bintang Belgium kali ini ternyata ujian yang lebih sukar.

Wales bagaimanapun bermula dengan memberangsangkan dan membuka jaringan seawal minit ke-11.

Gareth Bale mengakui pada minggu ini bahawa salah satu motivasi utama beliau menyertai semula Tottenham untuk kontrak pinjaman dari Real Madrid adalah untuk mendapatkan kecergasan perlawanan menjelang Euro 2020.

Ketajaman Bale juga kerana bermain lebih kerap sejak bulan lepas dan gandingan beliau dengan Daniel James membantu Wilson membuka jaringan.

“Sememangnya ia hebat untuk mendapatkan gol awal. Kami merasakan kami merancang gerakan dengan baik dan pelan permainan kami juga berhasil tetapi saya fikir beberapa kesilapan kecil dari diri kami sendiri mengecewakan kami,” kata Bale.

“Kami tahu mereka adalah pasukan yang hebat, mereka memiliki barisan pemain luar biasa dan apabila anda melakukan kesilapan, anda akan dihukum.”

De Bruyne mula mencuri perhatian apabila umpanan beliau hampir disempurnakan Lukaku  sebelum beliau akhirnya mengikat kedudukan pada minit ke-22 dengan satu rembatan cantik dari luar kotak penalti.

Wales tidak bernasib baik bolos gol kedua enam minit kemudian apabila Connor Roberts tergelincir, membolehkan Hazard menanduk umpanan Thomas Meunier.

Peluang semakin sukar untuk kedua-dua pasukan selepas rehat tetapi Belgium mendapat tuah untuk menjaringkan gol ketiga apabila Chris Mepham mengasari Dries Mertens dalam kotak penalti, membolehkan Lukaku menyempurnakan tendangan penalti untuk gol ke-58 dari 90 penampilan bersama Belgium.

Wales tidak bermain perlawanan kompetetif Sabtu ini tetapi menanti kunjungan Mexico pada satu perlawanan persahabatan untuk persediaan menentang Republik Czech pada Selasa minggu hadapan untuk perlawanan yang dijangka perebutan tangga kedua dalam Kumpulan E.

Czech membelasah Estonia 6-2 pada perlawanan lain dan akan  bertemu Belgium di Prague pada Sabtu ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here