Desas-desus berhubung kemungkinan pengaturan semula politik yang menggemparkan negara semalam masih belum berakhir dan isu itu dijangka berterusan hari ini.
Ini berikutan beberapa program yang dijadual berlangsung hari ini, antaranya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suaminya Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 2 petang.
Selain itu, DAP, satu daripada parti komponen dalam gabungan Pakatan Harapan, juga dilaporkan akan mengadakan mesyuarat tergempar susulan perkembangan politik terbaru itu di ibu pejabat parti berkenaan di ibu negara.
Semalam, beberapa pemimpin utama pelbagai parti politik kerajaan dan pembangkang hadir dalam satu mesyuarat khas dan tertutup di sebuah hotel di Petaling Jaya, mencetuskan tanda tanya tentang tujuan mesyuarat itu diadakan.
Sebelum itu, beberapa mesyuarat berasingan melibatkan beberapa parti politik di tengah-tengah desas-desus berhubung kemungkinan pengaturan semula landskap politik negara.
Pemimpin parti mengunci mulut mengenai apa yang dibincangkan dalam mesyuarat tertutup, di ibu negara dan Petaling Jaya yang menarik perhatian media.