Toyota Corolla Cross serba baharu sudah tiba

Model Toyota Corolla Cross serba baharu yang dinantikan kini tiba secara rasmi di Malaysia dan akan dijual bermula 25 Mac ini, memberi tambahan pilihan SUV terbaharu yang menarik untuk pengguna terus meneroka dan mengembara.

Ketika memperkenalkan Corolla Cross serba baharu ini, Presiden UMW Toyota Motor Ravindran K. berkata, Toyota Corolla Cross serba baharu ini memasuki segmen SUV moden yang semakin berkembang, menawarkan kenderaan generasi terkini untuk pelanggan.

“Kami yakin ia akan menjadi pilihan yang memenuhi keperluan dan gaya hidup aktif masa kini,” ujarnya dalam kenyataan media semalam.

Model baharu yang diimport CBU dari Thailand itu katanya, datang dalam dua varian – Corolla Cross 1.8V dan Corolla Cross 1.8G.

“Masing-masing dijual pada harga RM134,000 (tanpa pengecualian cukai jualan) dan RM124,000 (dengan pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2021) di Semenanjung Malaysia, tidak termasuk insurans,” katanya.

Menurut Timbalan Presiden UMW Toyota Motor Akio Takeyama, kajian pasaran menunjukkan ada maklum balas positif terhadap Corolla jenis baharu ini.

“Ia tidak menghairankan kerana perhatian dan permintaan terhadap SUV sedang tumbuh pesat bahkan di peringkat global,” ujarnya.

Walaupun merupakan ahli keluarga Corolla, Corolla Cross mempunyai penggayaan yang sama sekali berbeza daripada Corolla Sedan.

Sama seperti kebanyakan model terkini Toyota, Corolla Cross dibina menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), sebuah struktur yang membolehkan kejuruteraan lebih anjal dilaksanakan serta beberapa lagi manfaat lain.

Selain itu, semua Corolla Cross baharu dipasangkan dengan sistem keselamatan termasuk immobilizer enjin dan Sistem Telematik Kenderaan (VTS) boleh menjejaki kedudukan ken-deraan menggunakan isyarat GSM/GPS.

Pemilik boleh juga me-ninjau status penghidup dan kelajuan kenderaan dan sekiranya kereta dicuri, pusat panggilan 24/7 akan dapat mengesannya dan memaklumkan pihak berkuasa untuk tindakan pantas.

Pemilik Corolla Cross akan menikmati langganan VTS percuma selama tiga tahun.

Dalam pada itu menurut Ravindran, turut diperkenalkan ketika majlis pelancaran dalam talian ialah Duta Corolla Cross iaitu Diana Danielle dan Danny Koo, yang akan terlibat dengan kempen pengiklanan serta promosi model terbabit.

Toyota Corolla Cross 1.8G kini boleh dilihat, diuji serta dibeli melalui bilik pameran pengedar sah dan cawangan Toyota seluruh negara.

Corolla Cross 1.8V pula akan tiba kemudian tetapi tempahannya sudah mula dibuka.

Tempahan juga boleh dilakukan di semua bilik pameran maya Toyota.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari toyota.com.my atau menghubungi talian bebas tol 1-800-8-TOYOTA (869682).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here