Negara Pernah Gempar Dengan Kisahnya, Prebet Adam

Bagi siapa yang hidup ketika zaman hujung 80an dulu, pasti tidak akan lupa dengan tragedi amukan di Chow Kit pada ketika itu.

Mengimbas kembali sisipan sejarah, kes amuk di Chow Kit yang pernah menggemparkan negara pada 11 Oktober 1987 itu bukanlah melibatkan ratusan gengster, penjenayah mahupun ahli kongsi gelap…tapi hanyalah seorang tentera bernama Prebet Adam.

Berita insiden amuk Prebet Adam atau nama sebenarnya Adam Jaafar ketika itu memang memenuhi ruang akhbar seluruh pelusuk negara.

Tidak kurang juga, muncul pelbagai dakwaan dan persepsi demi persepsi daripada mulut orang awam tentang punca lelaki itu mengamuk hingga didakwa membahayakan keselamatan awam.

Antara persepsi paling ‘panas’ yang timbul di sebalik kemelut amukan itu adalah tentang dakwaan yang mengatakan bahawa punca Prebet Adam mengamuk disebabkan berlaku ‘masalah dalaman’ antara ahli keluarganya dengan pihak ketiga.

Cerita itu tersebar luas dari mulut ke mulut, namun sejauh mana kesahihahannya tidak dapat dipastikan secara nyata, jelas lagi berfakta ketika itu.

Bagaimanapun, segala ‘persoalan’ tentang kisah amukannya itu telah pun terjawab dan dibukukan dalam satu buku berjudul Konfesi Prebet Adam (2017), nukilan ‘otai’ wartawan jenayah negara, Syahril A. Kadir.

Namun, pada tarikh 30 Mac 2021 iaitu hari ini, berlaku satu peristiwa yang menyedihkan kita semua apabila Prebet Adam disahkan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Allahyarham yang juga merupakan anak jati Sungai Pinang, Georgetown dilapor meninggal dunia di Hospital Besar Pulau Pinang pada sekitar tengah hari tadi, memetik kenyataan laman Facebook Penang Kini.

Berita kematiannya ini juga turut dikongsikan oleh sang penulis yang membukukan konfesinya sebelum ini, Syahril A. Kadir siang tadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here