Sebuah jambatan besi bernilai RM400,000 yang dibina merintangi Sungai Galas untuk menghubungkan Kampung Batu Enam dengan Kampung Batu Lima, di sini dijangka siap menjelang Aidilfitri nanti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff berkata kerajaan membina jambatan besi tersebut sementara waktu bagi menggantikan jambatan konkrit yang runtuh, Julai tahun lalu.
“Pembinaan jambatan besi sementara itu sudah bermula dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan kemungkinan boleh digunakan penduduk Aidilfitri nanti.
“Jambatan itu hanya dibina untuk sementara sebelum kerajaan membina jambatan konkrit kekal yang dalam proses kelulusan peruntukan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Abd Aziz berkata kerajaan terpaksa mengambil langkah segera membina jambatan besi untuk kegunaan sementara kerana bimbang keselamatan penduduk yang terpaksa menggunakan jambatan kereta api berulang alik ke bandar ini setiap hari.
“Jambatan sementara itu juga boleh dilalui sebarang kenderaan kecuali kenderaan berat khususnya lori kerana sebelum ini penduduk kampung terbabit terpaksa meninggalkan kereta mereka di Kampung Batu Lima,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Jambatan konkrit merintangi Sungai Galas menghubungkan Kampung Batu Enam dengan Kampung Batu Lima runtuh akibat arus sungai deras berikutan hujan lebat, Julai tahun lalu.
Susulan itu, hampir 1,000 penduduk kampung terbabit terputus hubungan menyebabkan mereka terpaksa menggunakan jambatan kereta api yang terdedah risiko kejadian tidak diingini.
Sementara itu, seorang penduduk, Mustar Mat Salleh, 56, berkata pembinaan jambatan itu amat dinanti-nantikan kerana penduduk tidak sanggup lagi menggunakan jambatan kereta api yang boleh mendatangkan risiko tinggi.
Malah, Mustar berkata anak lelakinya berumur tujuh tahun pernah terjatuh dari jambatan kereta api itu ke tebing sungai ketika perjalanan ke sekolah.
“Anak saya cedera di lengan kiri dan sehingga sekarang masih takut melalui jambatan kereta api untuk berulang alik ke sekolah setiap hari,” katanya.
Mustar berkata kebanyakan penduduk kampung berkenaan juga menggunakan jambatan kereta api itu untuk memasarkan hasil pertanian ke bandar ini dan berdepan dengan bahaya apabila bertembung dengan kereta api.