MB Perak kembali bertugas selepas kuarantin 11 hari

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad dijadual kembali bertugas pada 4 Mei ini selepas menjalani kuarantin selama 11 hari sehingga 3 Mei berikutan dikesan sebagai kontak rapat kepada pesakit yang disahkan positif COVID-19.

Pejabat Menteri Besar Perak dalam kenyataan hari ini berkata Saarani menjadi antara kontak rapat dengan individu berkenaan ketika menghadiri satu program di Lenggong pada 23 April lepas.

“Berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Menteri Besar telah diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 11 hari iaitu dari tarikh kontak rapat berlaku dan dipakaikan gelang pengawasan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Saarani akan menjalani kuarantin kendiri di kediaman rasmi Menteri Besar Perak dan akan mendapatkan nasihat daripada pihak KKM serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa.

Kenyataan itu turut menyebut sebagai langkah berjaga-jaga, Saarani juga telah melakukan ujian saringan pengesanan COVID-19 pada pukul 2.30 petang tadi dan keputusannya dijangka diketahui esok.

Sementara itu menurutnya kesemua program rasmi Menteri Besar yang dijadual sehingga 3 Mei ini adalah dibatalkan, dan beliau dijangka kembali memulakan tugas pada 4 Mei, tertakluk kepada nasihat pihak KKM dan MKN.

“Perkembangan ini tidak menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri memandangkan Menteri Besar akan bekerja dari rumah dan bersedia mempengerusikan mesyuarat secara sidang video jika perlu,” kata kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here