Peniaga OKU dari Johor Bahru jual nasi beriani

Walaupun serba kekurangan, seorang peniaga Orang Kelainan Upaya (OKU) menggunakan platform perniagaannya bukan setakat mencari rezeki untuk keluarga tetapi juga beramal.

Peniaga nasi beriani, Zulkifflee Hussin, 56 tahun, yang mengalami kecacatan daripada bahagian pinggang hingga ke kaki, mengambil kesempatan meraih berkat bulan Ramadan yang mulia, untuk bersedekah dengan menawarkan harga RM5 untuk hidangan nasi beriani ayamnya.

“Sehingga sekarang, saya tak pernah naikkan harga kerana masih lagi ada keuntungan walaupun tidak berapa lumayan, pada saya biar untung sedikit tapi laris. Lagipun saya jual nasi beriani di bazar ini tak pernah, tak habis.

 “Memang laku keras dan harga jualan RM5 ini hanya untuk bulan Ramadan sahaja kerana saya beramal sambil berniaga,” katanya.

Bapa kepada empat anak itu ketika ditemui di Bazar Ramadan Permas, Johor Bahru baru-baru ini berkata, beliau dibantu isteri dan anak bongsunya, turut menjual nasi ambeng berharga RM5 dan nasi beriani kambing berharga RM12.

Kata Zulkifflee beliau masih mampu meraih keuntungan sehari mencecah RM500.

Zulkiflee yang sebelum ini bekerja sebagai guru memandu berkata dia bergelar OKU pada 2003 selepas mengalami kecederaan saraf tunjang akibat terjatuh ketika bekerja.

Meskipun menghadapi kesukaran pada mulanya, dia tetap berusaha untuk mencari pendapatan bagi menampung keluarganya dan mula berniaga sejak 2012 selepas abangnya mengajar membuat nasi beriani menggunakan resepi turun-temurun keluarganya.

Walaupun berkerusi roda, itu tidak menghalangnya untuk terus berniaga dan dia juga memandu sendiri untuk membeli barangan perniagaannya menggunakan kenderaan yang telah diubah suai.

“Kereta tu sebahagian daripada kaki saya … saya pergi berniaga dan membeli barang perniagaan sentiasa menggunakan kereta.

“Saya nasihatkan kepada individu yang senasib dengan saya, jangan berputus asa walaupun kita sudah tidak mampu berjalan dan sebagainya.

“Saya sendiri masa mula-mula mengalami kecacatan, saya rasa hidup saya dah berakhir, tapi apabila lihat orang di sekeliling iaitu keluarga saya, mereka sentiasa beri semangat dan perhatian untuk saya, kenapa saya perlu patah semangat. Mereka yang mendorong saya,” kata Zulkifflee.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here