Polis siasat Kadir Jasin

Bekas Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin memaklumkan beliau telah disiasat oleh polis semalam berkaitan dengan tulisan beliau di Facebook.

Namun beliau tidak memaklum apakah tulisan spesifik yang disiasat oleh polis itu.

“Semalam seorang pegawai penyiasat polis bertanya adakah ini Facebook saya dan apakah tulisan yang dia tunjukkan itu adalah tulisan saya.

 “Saya jawab ‘Ya’,” tulis bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, kumpulan media terbesar negara itu.

Menurut Kadir, berkenaan akaun Facebook beliau, “saya kata saya mengendalikannya sendiri.”

“Maksudnya saya adalah pemegang akaun, pentadbir (Admin) dan penulis.

“Saya tidak ada orang upahan, laskar siber, ghost writer atau sebarang jenis pemakan dedak.” tulis beliau dalam Facebooknya.

Kemudian, katanya, pegawai penyiasat polis itu bertanya tentang pembabitan beliau dalam politik dan jawatan yang dipegang.

“Saya kata, saya tidak terlibat lagi dengan mana-mana parti politik apabila saya menarik diri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 6 Ogos tahun lalu.

“Tapi kalau ikut notis Bersatu, nama saya dikeluarkan daripada daftar keahlian pada 10 Ogos,” katanya.]

Satu-satunya jawatan parti yang pernah beliau pegang adalah sebagai salah seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Itu pun secara lantikan saja, kata Kadir.

Menurutnya, walaupun menjadi ahli Umno daripada tahun 1983 hingga 2015 (32 tahun), beliau tidak pernah bertanding atau memegang apa-apa jawatan.

“Saya hanyalah ahli biasa,” katanya lagi.

Pegawai polis itu juga bertanya apakah pekerjaan dan jawatan beliau sekarang.

“Jawapannya saya tidak ada apa-apa pekerjaan lagi. Saya pesara swasta. Jawatan saya yang terakhir adalah Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad).

“Apabila beliau meletakkan jawatan maka secara automatik berakhirlah pelantikan saya. Ia adalah jawatan kontrak,” katanya.

Kadir turut memberitahu kepada polis, nama beliau Abdul Kadir Bin Jasin.

“Jasin bapanya bernama Tahir. Saya dilahirkan di Kampung Tanah Merah, Mukim Guar Kepayang, Pendang, Kedah pada 23 Ogos 1947.

“Saya anak kedua daripada lapan adik beradik. Lulus sijil kewartawanan dari Wellington Polytechnic, New Zealand tahun 1971.

“Banyak lagilah soal jawab tapi cukuplah setakat ini,” kata beliau dalam catatan di Facebook itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here