Proton jual 15,017 unit pada April

Pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) menjual 15,017 unit kenderaan pada April, meningkat 0.18 peratus bulan ke bulan, dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 26.7 peratus.

Dalam kenyataan pada Isnin, Proton menjelaskan prestasi pada April merupakan pertumbuhan jualan bagi bulan ketiga berturut-turut.

“Secara keseluruhan, Proton terus mengukuhkan kedudukan di tempat kedua dalam senarai kedudukan penjualan dengan pegangan pasaran untuk tahun ini dijangka pada 24.4 peratus sementara jumlah keseluruhan kini sebanyak 47,843 unit selepas empat bulan pertama 2021,” tambahnya.

Ia berkata Proton Saga kembali ke puncak carta jualan nasional dengan 5,472 unit pada April.

Walaupun jumlah itu berkurangan daripada angka pada bulan sebelumnya, permintaan terhadap produk terlaris Proton itu tetap tinggi dan melebihi jumlah unit yang dibekalkan, menurutnya.

Proton merekodkan 3,583 unit diserahkan pada April bagi model kenderaan utiliti sukan (SUV) merangkumi Proton X70 berjumlah 2,101 unit.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata April merupakan bulan yang baik bagi industri automotif dan selain Proton, beberapa jenama lain juga mempunyai bulan terbaik tahun ini.

Beliau berkata jumlah keseluruhan industri dianggarkan melebihi 56,000 unit kerana semua jenama sedang berusaha untuk memenuhi pesanan penjualan sebelum berakhirnya insentif cukai penjualan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara pada akhir Jun.

“Bagi Proton, kami meneruskan usaha untuk memenuhi permintaan produk kami yang tinggi di samping mengekalkan tahap kualiti produk.

“Pada masa yang sama, kami fokus untuk menambah baik khidmat pelanggan dan menangani masalah berkaitan ketersediaan alat ganti, satu aspek yang sangat penting ketika jumlah penjualan kami sedang meningkat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here