PKP 3.0 dijangka tidak beri impak signifikan kepada pertumbuhan ekonomi

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) pada 10 Mei 2021 dijangka tidak akan memberi impak yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi kerana hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata penutupan keseluruhan sektor ekonomi akan lebih memudaratkan golongan rentan dan mudah terjejas berbanding mereka yang berkemampuan.

“Penutupan keseluruhan ekonomi seperti PKP 1.0 akan menyaksikan pengangguran bakal mencecah tujuh peratus (atau lebih 1 juta penganggur) yang akan lebih tertumpu kepada golongan yang bekerja sendiri, belia, wanita serta mereka yang berkemahiran/berpendapatan rendah.

“Di samping risiko pengangguran, golongan bekerja sendiri dan lebih kurang 2.8 juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro juga lebih berisiko mengalami kekurangan pendapatan ekoran penutupan ekonomi secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tengku Zafrul berkata dengan pelaksanaan semula PKP 3.0, beberapa segmen sektor perkhidmatan yang berteraskan interaksi fizikal termasuk pelancongan dijangka akan terus terkesan akibat larangan merentas negeri dan pengekangan aktiviti sosial.

Bagaimanapun, katanya kerajaan yakin Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan terus berkembang berdasarkan unjuran pada kadar 6 peratus hingga 7.5 peratus, selaras dengan anggaran Dana Kewangan Antarabangsa (6.5 peratus), Bank Dunia (6.0 peratus) dan Bank Pembangunan Asia (6 peratus).

“Selain itu, pemulihan ekonomi negara juga akan disokong oleh pertumbuhan ekonomi rakan dagangan utama seperti Singapura yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 0.2 peratus, China (18.3 peratus) dan Amerika Syarikat (0.4 peratus) pada suku pertama 2021.

“Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) juga akan mendorong pembukaan pelbagai sektor ekonomi, pemulihan sentimen pengguna, dan seterusnya pertumbuhan serta daya tahan ekonomi Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here