Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata, anggota polis yang ditahan kerana berpesta arak dan ketum bersama empat wanita harus berdepan tindakan undang-undang.
“Sudah pasti tidak” tegasnya ketika ditanya apakah cukup untuk menyiasat mereka atas kesalahan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan.
“Pegawai polis harus melaksanakan tugasnya sesuai dengan undang-undang kepolisan dan peraturan lain bawah undang-undang itu,” tambahnya.
Katanya lagi, empat anggota polis terbabit termasuk ketua balai di sebuah balai polis di Kajang harus dipecat atau digantung.
Zaid membangkitkan sama ada keempat-empat anggota terbabit mendapat perlindungan pegawai yang lebih tinggi, yang mendorong mereka bertindak sedemikian secara terang-terang.
“Pasukan polis kita memerlukan pembersihan nasional.
“Pasukan polis selalu dikaitkan dengan ketua-ketua gengster bawah tanah yang melibatkan dadah, pelacuran dan lain-lain. Rasuah dalam pasukan ini berleluasa, menurut Zaid.
“Oleh itu, apa yang berlaku di Kajang tidak mengejutkan,” tambahnya.
Menjawab persoalan lain, Zaid berkata orang ramai juga ingin melihat bagaimana Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin akan menangani kejadian ini.
“Menteri Dalam Negeri selalu bersikap tegas dengan masyarakat terhadap pelanggaran SOP. Orang ramai ingin melihat bagaimana dia akan bertindak terhadap insiden terbabit yang telah mencemarkan seluruh pasukan.
“Ketua Polis Negara baharu, Acryl Sani Abdullah dipilihnya sendiri: jadi dia dan menteri bertanggungjawab harus sependapat,” tambahnya.
Setelah mendapat maklumat awam, pasukan dari Bukit Aman menyerbu balai yang menjadi ‘mini disko’ tersebut petang semalam dan menangkap lapan individu.
Menurut laporan, kejadian itu berlaku di sebuah “bilik khas” di tingkat dua dan turut dipasang dengan lampu berputar.
Ketika serbuan itu, kesemua mereka didapati sedang menari dan menyanyi karaoke, menurut laporan itu lagi.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad mengesahkan insiden itu.
Sementara itu, dalam perkembangan terbaru, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad berkata ketua balai yang ditahan itu digantung kerja mulai hari ini dan direman dua hari.
Katanya, hasil ujian air kencing pegawai polis berpangkat Sub Insp itu didapati positif ganja.
“JIPS dalam pada itu masih menjalankan siasatan lanjut berhubung salah laku dan tatatertib anggota terlibat manakala yang lain diserahkan kepada bahagian-bahagian berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.





















