SETIAP TITIS AIR YANG ANDA GUNA AMAT BERMAKNA

Sejak permulaan fasa baharu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kita dapati peningkatan drastik aduan bil air tinggi.

Persoalan yang timbul, apakah puncanya? Pernahkah anda terfikir bahawa masa mandi yang lama, paip air yang dibiarkan terbuka semasa menggosok gigi atau jumlah air yang digunakan untuk membasuh kereta dan menyiram tanaman mungkin menyumbang kepada peningkatan bil air bulanan? Walau bagaimanapun, dalam beberapa insiden yang lain, bil air yang tinggi mungkin disebabkan oleh kebocoran paip air dalaman.

Penting untuk kita mendapatkan pencerahan dan penjelasan berkenaan bil air bulanan untuk mengelakkan kekeliruan

daripada berterusan. Sesuatu yang mungkin mengejutkan apabila menerima bil air yang tinggi ini. Namun, jangan risau, semua masalah ada penyelesaiannya.

Memahami Bil Air Bulanan Anda

Mungkin ada yang tertanya-tanya, bagaimana bil air bulanan dikira? Pengiraan bil bulanan bagi setiap akaun pelanggan dibuat berdasarkan bacaan meter yang diambil oleh pembaca meter di setiap premis pelanggan.

Sebagai pelanggan, adalah penting untuk kita turut mengetahui cara-cara membaca meter air. Meter yang terdapat di premis menunjukkan jumlah penggunaan air anda yang dikira dalam unit meter padu (m3 ).

Mengesan Penggunaan Air Tinggi: Peranan Pengguna

Bil air yang tinggi turut memberi kesan kepada mereka yang tinggal di kediaman yang dibina sebelum tahun 2000. Mengapa begitu?

Sistem perpaipan asal yang belum diganti akan menyebabkan para pengguna berdepan dengan isu paip usang sehingga menjadi punca kebocoran paip dalaman. Kebanyakan kediaman berdepan dengan masalah ini kerana bahan yang lebih kukuh dan tahan lasak untuk aip dalaman belum lagi dihasilkan pada waktu itu.

Tahukah anda bahawa sesebuah isi rumah boleh kehilangan sebanyak 20,000 gelen air (75,708 liter) setiap tahun sama

ada melalui kebocoran langsung atau tidak langsung pada paip dan pancuran air atau lebih serius lagi, paip air pada siling dan di dalam dinding rumah anda? Sekiranya tandas atau pili paip mengalami kebocoran, atau air mengalir secara berterusan, ia secara tidak langsung meningkatkan penggunaan air, sekaligus menyumbang kepada peningkatan bil air yang tinggi.

Bagi insiden kebocoran paip air dalaman, pihak pengguna bertanggungjawab untuk menyenggara seperti yang telah dinyatakan di dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Apabila anda mengesan sebarang kebocoran air di dalam rumah, hubungi tukang paip bertauliah bagi membaiki kebocoran tersebut dengan segera. Para pelanggan digalakkan untuk memeriksa paip air secara berkala kerana ia dapat menjimatkan perbelanjaan pembaikan yang tidak dijangka dan juga bil air yang tinggi pada masa akan datang.

Cabaran Yang Dihadapi Air Selangor Sebagai Operator Air

Pengiraan bil air bulanan bagi setiap akaun pengguna dibuat berdasarkan bacaan sebenar yang diambil oleh pembaca meter di premis pengguna. Namun, terdapat situasi di mana meter terhalang atau berada di dalam premis pengguna sehingga tidak boleh diakses secara terus.

Melihat kepada situasi ini, Air Selangor telah menjalankan program pengalihan meter, satu inisiatif yang dilaksanakan bagi memastikan meter air dapat diakses dengan mudah agar bacaan meter dapat diambil berdasarkan penggunaan air sebenar pelanggan. Setakat Julai 2021, sejumlah 3,657 (45.7%) daripada 7,227 meter air telah dialihkan.

Menurut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, meter air di premis pengguna merupakan hak milik operator air. Pihak operator air berhak untuk menentukan posisi pemasangan meter bagi memudahkan operasi harian. Sekiranya meter berada di posisi yang sukar untuk diakses, operator air mungkin akan menukar atau mengalih posisi meter atau memasang meter baharu.

Kesalahan dalam bacaan meter mungkin disebabkan oleh meter lama dan rosak. Oleh itu, penggantian meter lama dan rosak sangat penting dalam memastikan bacaan penggunaan air anda dapat direkodkan dengan tepat. Untuk itu, kos pengalihan atau penggantian meter air akan ditanggung sepenuhnya oleh Air Selangor.

Bagi pengguna yang mengalami masalah bil air tinggi setelah penukaran meter air baharu oleh Air Selangor, sila kemukakan aduan anda dengan menghubungi 15300 atau hubungi Help Centre. Dengan berbuat demikian, Air Selangor boleh menyiasat kes-kes tersebut dengan kadar segera untuk mengelakkan masalah ini daripada berlarutan. 

Langkah-langkah Untuk Mengekalkan Penggunaan Air Bulanan yang Berpatutan

Sebagai seorang pelanggan, pastikan anda memantau sebarang peningkatan bil air bulanan kerana ini mungkin disebabkan oleh penggunaan air yang tidak terkawal. Dengan ahli keluarga yang meluangkan lebih banyak masa di rumah semasa tempoh pandemik ini dan menggunakan lebih banyak air daripada jumlah purata 180 liter per kapita sehari seperti yang disasarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), trend penggunaan air anda mungkin meningkat.

Ke Arah Masa Hadapan Lestari Bagi Industri Air

Di sebalik cabaran yang dihadapi, Air Selangor kekal komited dalam memastikan bekalan air bersih dan selamat dapat terus diagihkan kepada para pengguna.

Sebagai operator air, Air Selangor sentiasa merancang dan meneroka pembinaan loji rawatan air baharu untuk terus memenuhi permintaan pelanggan yang kian meningkat saban hari. Namun, pembangunan seperti ini memerlukan kos yang besar dan akan memberi kesan kepada alam sekitar pada jangka masa panjang.

Sebagai pengguna, kita haruslah memainkan peranan dalam menggunakan air secara berhemah untuk mengelakkan sebarang kejutan apabila menerima bil air bulanan di samping turut membantu operator air dalam melindungi sumber air kita. 

Sebagai badan kawal selia industry perkhidmatan air negara, SPAN telah mencadangkan penggunaan air harian seperti berikut:

  1. Mandi: guna 30 liter air, bersamaan dengan 5 minit waktu mandi. Ketika sedang mandi, pastikan anda menutup pili air sementara menggunakan sabun atau semasa membasuh rambut.
  2. Menggosok gigi: guna kira-kira 0.5 liter air. Ketika menggosok gigi, jangan biarkan pili air terbuka selepas membasahkan berus gigi.
  1. Pam tandas: guna kira-kira 4.5 liter air. Tandas dengan pam berkembar boleh membantu pengguna untuk menjimatkan penggunaan air. Gunakan ciri pam separa bagi sisa cecair dan pam penuh bagi sisa pepejal.
  2. Membasuh pinggan: guna kira-kira 25 liter air.
  3. Membasuh baju: guna kira-kira 130 liter air.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here