Raja-raja Melayu bertemu Jumaat ini – laporan

Satu pertemuan khas dijangka akan berlangsung membabitkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dengan Raja-raja Melayu pada Jumaat ini bagi membincangkan isu bakal calon perdana menteri dan kerajaan. Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dipetik berkata kepada Berita Harian mengesahkan perkara berkenaan. Katanya, satu kenyataan akan dikeluarkan Istana Negara selepas jam 12 tengahari mengenai perkara berkenaan.

Benar, hari ini (Istana Negara) akan keluarkan kenyataan selepas jam 12 tengah hari, Insya-Allah katanya. Semalam, ketua dan pemimpin parti daripada Umno, Pakatan Harapan (PH), PAS dan Pejuang selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung kira-kira dua jam.

Ketua parti yang dilihat hadir ialah Presiden Umno, Zahid Hamidi; Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sesi menghadap Agong oleh ketua parti adalah berikutan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri semalam selepas menerajui negara selama hanya 17 bulan. Dalam kenyataan, Istana Negara mengumumkan Muhyiddin akan bertindak sebagai perdana menteri ‘caretaker’ sehingga perdana menteri baharu dilantik oleh Agong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here