‘INI BUKAN MASA UNTUK SALAHKAN ANWAR’ -PROF RAMASAMY

Petaling Jaya, Ogos 21-

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy berkata pembangkang harus melakukan penilaian kritikal dan bukannya mencari kesilapan yang berlaku serta mengapa mereka gagal mendapatkan sokongan.

“Menyalahkan Anwar bukan satu tindakan yang bijak. Parti komponen Pakatan Harapan (PH) mesti menangani persoalan berhubung kepimpinan masa depan untuk berdepan pilihanraya umum selepas ini (PRU15),” katanya dalam satu kenyataan.

Ramasamy berkata Anwar mungkin mempunyai pengkritiknya tetapi dia menggesa orang ramai supaya sentiasa ingat bahawa tanpanya, pembangkang tidak mungkin boleh berada di kedudukan untuk membentuk kerajaan alternatif.

“Ini bukan masa untuk saling menyalahkan pemimpin. Setahu saya, Anwar masih lagi pemimpin pembangkang. Terdapat sedikit perbezaan antara jumlah sokongan Ahli Parlimen terhadap Anwar dan Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Semalam, Agong mengumumkan bahawa Ismail Sabri daripada Umno mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri dan beliau dijangka mengangkat sumpah petang ini.

Anwar pula hanya mendapat sokongan daripada 105 Ahli Parlimen.

Ramasamy berkata pemimpin pembangkang itu tidak sempurna dan perlu bertanggungjawab atas kesilapan strategik serta taktik yang dilakukan sebelum ini dan tidak sepatutnya “meletakkan harapan terlalu awal”.

“Malah ketika ini pun, ia tidak masuk akal mengapa dia mempercayai beberapa pemimpin Umno untuk mendapat sokongan, terutama daripada kluster mahkamah.”

Dia berkata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mungkin menganggap kekalahan Anwar itu disebabkan tidak mendapat sokongan tetapi ia begitu mudah diucapkan oleh seseorang yang enggan menyerahkan kedudukan itu kepada Anwar seperti yang dijanjikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

“Ya, Pejuang pimpinan Mahathir mungkin menyokong Anwar tetapi ia sudah terlambat. Daripada terus kecewa, pembangkang harus membincangkan rancangan masa depan dengan serius.

“Lebih penting lagi, ia perlu membuat strategi bagaimana untuk memenangi pilihan raya berikutnya. Ini termasuk siapa yang boleh dipercayai dan apa pakatan yang perlu dibuat. Tiada pemimpin yang diketepikan,” katanya.

Mengenai Ismail Sabri, Ramasamy berkata tidak ada keajaiban yang diharapkan akan berlaku dengan barisan Jemaah Menteri diwarisinya.

“Dia adalah salah seorang yang harus bertanggungjawab kerana tidak menangani isu pandemik dengan serius.

“Kita tunggu dan lihat sama ada Ismail Sabri berupaya menunjukkan kepimpinan dalam menangani masalah kesihatan dan ekonomi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here